KEMENTERIAN KOMUNIKASI

MoU JIM-MCMC perkukuh siasatan jenayah siber, percepat tindakan penguatkuasaan

PUTRAJAYA – Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dijangka memperkukuhkan aspek risikan serta mempercepatkan siasatan membabitkan jenayah dalam talian dan ancaman keselamatan digital.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerjasama strategik antara kedua-dua agensi itu akan membolehkan perkongsian maklumat dilaksanakan dengan lebih berkesan sekali gus membantu mempercepatkan tindakan penguatkuasaan termasuk tindakan perundangan.

“Dengan termeterainya MoU antara JIM dan MCMC, kita jangkakan isu-isu siasatan dan risikan akan dapat membantu mempercepatkan siasatan serta tindakan yang boleh diambil termasuk tindakan perundangan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pertukaran MoU antara JIM dan MCMC di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini

Menurut beliau, kerjasama itu penting dalam usaha kerajaan membanteras jenayah siber yang semakin kompleks dan merentas sempadan.

Dalam masa sama, Fahmi memaklumkan MCMC telah mengenal pasti lebih 470,000 kandungan memudaratkan dalam talian dengan 93 peratus daripadanya berjaya diturunkan daripada platform digital.

“Baki tujuh peratus lagi masih dalam proses tindakan atau belum diturunkan oleh penyedia platform terbabit.

“Sebanyak 91 peratus daripada jumlah permohonan penurunan kandungan ini melibatkan judi dalam talian dan skam.

“Ini menunjukkan usaha MCMC tertumpu untuk memastikan platform seperti Facebook, TikTok, Threads dan lain-lain bebas daripada jenayah serta kemudaratan dalam talian,” katanya lagi.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban; serta Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Abdullah.

Mengulas cadangan supaya institusi kewangan mengambil langkah lebih proaktif dalam membendung penipuan dalam talian, Fahmi berkata, satu jawatankuasa kerja melibatkan pelbagai agensi berkaitan telah ditubuhkan pada Julai lalu.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut turut melibatkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan sedang meneliti pelbagai langkah termasuk tindakan yang boleh diambil oleh bank-bank komersial bagi menyekat aliran wang hasil kegiatan penipuan.

“Jawatankuasa kerja itu masih belum mengemukakan laporan, namun isu tindakan oleh bank-bank komersial untuk menyekat aliran wang melalui aktiviti jenayah skam akan menjadi antara perkara yang diteliti.

“Kita menunggu hasil perbincangan mereka dan laporan dijangka dikemukakan tidak lama lagi,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button