Riadah, sokongan keluarga bantu pemulihan pesakit psikiatri
BANTING – Aktiviti riadah dan sokongan keluarga menjadi antara pendekatan yang digunakan Hospital Banting bagi membantu meningkatkan keyakinan diri, interaksi sosial serta kesejahteraan emosi pesakit psikiatri.
Pengarah Hospital Banting, Dr Malindawati Mohd Fadzil berkata, pendekatan itu diterapkan menerusi Program Serenity By The Sea yang dianjurkan Jabatan Psikiatri dengan kerjasama Unit Carakerja, Hospital Banting, selain mendapat sokongan Ketua Whip Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Zon 21, Nur Zairina Muzaini.
Menurut Dr Malindawati, program berkenaan memberi ruang kepada pesakit untuk beriadah, berinteraksi dan membina keyakinan diri dalam suasana yang lebih terbuka.
“Melalui aktiviti yang dijalankan, kita mahu mereka berkomunikasi, bekerjasama dan mengambil bahagian secara aktif bersama keluarga serta kakitangan hospital,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Program yang berlangsung di Pantai Morib itu memberi peluang kepada pesakit untuk menjalani aktiviti riadah dan berinteraksi bersama ahli keluarga serta kakitangan hospital dalam suasana lebih santai di luar persekitaran klinikal.

Program berkenaan disertai 40 peserta terdiri daripada pesakit psikiatri, ahli keluarga dan kakitangan hospital.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk senaman aerobik serta sukaneka seperti isi air dengan span, boling kampung dan gula dalam tepung.
Sementara itu, Ketua Jabatan Psikiatri, Dr Hazleana Hashim berkata, aktiviti itu dirangka bagi menggalakkan pesakit mempraktikkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan interaksi sosial menerusi pendekatan Terapi Riadah (Leisure Therapy) serta Latihan Kemahiran Sosial (Social Skills Training).
“Bila kita bawa mereka keluar daripada suasana hospital, kita dapat melihat mereka berinteraksi dalam keadaan yang lebih santai.
“Pada masa sama, ahli keluarga juga dapat bersama-sama mengambil bahagian dan memberi sokongan kepada pesakit,” katanya.
Beliau berkata, sokongan keluarga juga merupakan antara elemen penting dalam membantu pesakit meneruskan rawatan serta proses pemulihan.
Menurutnya, suasana tidak formal sepanjang program turut memberi peluang kepada pesakit, ahli keluarga dan kakitangan hospital mengeratkan hubungan serta mewujudkan rasa kebersamaan.
“Pemulihan kesihatan mental bukan hanya berkaitan dengan rawatan klinikal, tetapi turut melibatkan aspek sosial, emosi, keyakinan diri dan sokongan daripada orang di sekeliling.
“Jadi, program seperti ini penting supaya pesakit dapat merasai bahawa mereka masih mempunyai ruang untuk bersosial, beriadah dan terlibat dalam kehidupan bermasyarakat,” jelasnya.
Program itu turut menerima maklum balas positif daripada peserta dan ahli keluarga yang menghargai peluang untuk melakukan aktiviti bersama dalam suasana santai.
Usaha seumpama itu akan terus diperkasa menerusi kerjasama antara pihak hospital, keluarga dan komuniti bagi menyokong rehabilitasi psikososial serta meningkatkan kualiti hidup pesakit yang menerima rawatan kesihatan mental.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








