LUAR NEGARA

Wabak Ebola di Congo masuki fasa paling bahaya

KINSHASA – Wabak Ebola yang melanda Republik Demokratik Congo (DRC) kini memasuki fasa paling berbahaya dalam sejarah negara itu selepas meragut sekurang-kurangnya 2,325 nyawa sejak penularannya diumumkan secara rasmi pada April lalu.

Angka itu melepasi jumlah kematian dalam wabak Ebola antara tahun 2018 hingga 2020 manakala data terkini kerajaan menunjukkan sebanyak 4,945 kes telah disahkan, termasuk 101 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Institut kesihatan awam Congo memaklumkan enam daripada 26 wilayah negara itu kini terjejas, dengan kebanyakan kes dilaporkan di kawasan timur laut berhampiran sempadan negara.

Wilayah Ituri menjadi kawasan paling teruk terjejas dengan lebih 3,400 kes direkodkan sejak wabak itu mula dikesan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat memberi amaran keadaan semakin buruk dan menyifatkan “Ebola sedang menang di Congo”.

PBB turut memaklumkan wabak berkenaan kini menyebabkan kira-kira seorang maut setiap 30 minit.

Menurut pakar kesihatan awam, peningkatan kes berlaku dengan pantas dan menjadi yang terpantas pernah direkodkan bagi virus berkenaan.

Lebih membimbangkan, wabak kali ini berpunca daripada strain Bundibugyo, yang masih belum mempunyai vaksin atau rawatan khusus yang diluluskan.

Pakar Médecins Sans Frontières (MSF), Thomas Parisch berkata, kebanyakan kes hanya dikesan ketika pesakit sudah berada dalam keadaan kritikal atau selepas meninggal dunia.

“Biasanya, kadar kematian akan menurun apabila pengesanan kontak bertambah baik dan pesakit dirawat lebih awal. Namun, kita masih melihat banyak kes dikesan terlalu lewat,” katanya.

Sementara itu, Uganda melaporkan sekurang-kurangnya 20 kes, semuanya di ibu negara, Kampala.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Mei mengisytiharkan wabak Ebola di Congo dan Uganda sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan masyarakat antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button