Pemansuhan AUKU peluang bentuk kerangka perundangan lebih dinamik
KUALA LUMPUR – Hasrat kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) disifatkan sebagai perkembangan positif dalam usaha memperkukuh reformasi pendidikan tinggi negara.
Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Intan Nadia Ghulam Khan berkata, pemansuhan AUKU wajar dilihat sebagai peluang membentuk kerangka perundangan baharu yang lebih selaras dengan perkembangan serta keperluan semasa pendidikan tinggi.
Menurutnya, AUKU bukan sekadar mengawal selia hal ehwal mahasiswa, sebaliknya menjadi akta induk bagi penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti.
“Sehubungan itu, pemansuhan AUKU sewajarnya disusuli dengan penggubalan akta baharu sebagaimana yang telah diumumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
“Akta baharu ini penting untuk menggantikan AUKU dalam menyediakan asas perundangan yang jelas bagi mengurus dan mentadbir institusi pendidikan tinggi,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Beliau berkata, kerangka baharu itu perlu merangkumi aspek autonomi universiti, tadbir urus, akauntabiliti, kebebasan akademik serta hak dan tanggungjawab mahasiswa.
Pada masa sama, katanya, penggubalan akta baharu perlu mengambil kira kebebasan yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, di samping memastikan keseimbangan dengan keperluan menjaga ketenteraman awam dan keselamatan negara.
“Pendekatan ini akan membolehkan sistem pendidikan tinggi Malaysia berkembang secara lebih dinamik, berdaya saing dan selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


