BERITA SEMASA

KPTMSB perluas pendidikan antarabangsa menerusi kampus baharu di Cyberjaya

CYBERJAYA – Pelajar di institusi pendidikan di bawah kelolaan Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB) kini mempunyai peluang lebih luas mengikuti pendidikan bertaraf antarabangsa dalam negara menerusi pengukuhan kerjasama dengan Dublin Business School (DBS), Ireland serta pembukaan Kampus KPTM Cyberjaya.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, berkata kerjasama antara KPTM dan DBS yang terjalin sejak 2013 akan terus diperkukuh dengan penawaran program antarabangsa di kampus baharu berkenaan.

Katanya, langkah itu bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar Malaysia mendapatkan pendidikan antarabangsa, malah berpotensi menarik pelajar dari negara lain untuk mengikuti pengajian di KPTM.

“Kampus Cyberjaya KPTM akan menerima program ini. Kami berharap program ini akan menjadi program antarabangsa untuk KPTM. Kami akan menerima pelbagai peluang bukan sahaja daripada pelajar dari Malaysia tetapi juga daripada pelajar dari negara-negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan Secara Maya (Addendum Agreement Virtual Signing Ceremony) dan Pelancaran Kampus Cyberjaya di Cyberview Resort & Spa, di sini, malam tadi.

Zulfikri berkata, kerjasama dengan DBS turut memberi laluan kepada pelajar dalam bidang perakaunan dan kewangan untuk meneruskan pengajian ke peringkat profesional.

Menurutnya, kerjasama itu telah menunjukkan hasil apabila kira-kira 2,116 graduan berjaya dilahirkan sejak 2013 dan kebanyakannya mendapat pekerjaan dalam industri terkemuka, khususnya bidang perakaunan.

“Sebagai contoh, graduan daripada KPTM ini dapat pekerjaan dengan EWC, PwC, Deloitte dan syarikat-syarikat seperti itu.

“Sebagai Ketua Pengarah MARA, saya amat berbangga dengan prestasi program ini dan pada hari ini, bila kita mengembangkan kolaborasi dengan Dublin Business School, kita berharap dapat membawa program ini daripada KPTM ke kampus baharu di Cyberjaya,” katanya.

Beliau berkata, pengembangan kerjasama itu dijangka meningkatkan keyakinan pelajar, ibu bapa serta pemain industri terhadap kualiti pendidikan dan graduan KPTM.

Katanya, graduan KPTM juga berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang profesional seperti ACCA, selain mendapat pendedahan antarabangsa melalui kerjasama berkenaan.

“Sudah tentu graduan daripada KPTM akan dapat lebih banyak peluang untuk melanjutkan pelajaran di bidang profesional ACCA misalnya kerana kita tahu KPTM merupakan salah satu tuition provider yang setara platinum, maksudnya tuition provider antara yang terbaik untuk ACCA di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB), Radzuan Razali berkata, kerjasama akademik global, pengiktirafan profesional dan pembangunan kampus baharu menjadi asas kepada usaha memperluas akses pendidikan berkualiti kepada pelajar Malaysia.

Menurutnya, kerjasama dengan DBS membolehkan pelajar mengikuti Bachelor of Arts (Honours) in Accounting and Finance (BAAF) menerusi konsep Mirror Programme, iaitu model pembelajaran yang membolehkan program bertaraf antarabangsa diikuti di Malaysia.

Katanya, kerjasama yang bermula pada 2013 itu kini memasuki fasa baharu apabila kedua-dua institusi bersetuju memperkenalkan pengambilan Januari bermula Januari 2027.

Dalam perkembangan sama, KPTMSB turut meraikan pengiktirafan Program Diploma Perakaunan (AA101) oleh Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA).

Pengiktirafan itu membuktikan kurikulum program memenuhi standard akademik dan profesional yang ditetapkan badan berkenaan, sekali gus membuka laluan lebih jelas kepada graduan untuk melangkah ke arah kelayakan Certified Public Accountant (CPA Malaysia), tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Radzuan berkata, pengiktirafan berkenaan turut meningkatkan nilai tambah graduan KPTM untuk membina kerjaya dalam bidang audit, perakaunan, kewangan, sektor korporat, agensi kerajaan dan syarikat multinasional.

Katanya, kerjasama MICPA dengan Chartered Accountants Australia and New Zealand (CA ANZ) juga membuka ruang kepada graduan meneroka laluan profesional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, Zulfikri berkata, Kampus KPTM Cyberjaya menyasarkan pengambilan awal seramai 400 hingga 500 pelajar.

Katanya, MARA juga sedang mengadakan perbincangan bagi menawarkan program lain termasuk bidang multimedia dan kelestarian yang dilihat semakin penting dalam memenuhi keperluan industri.

“Sudah tentunya menjadi tanggungjawab MARA untuk melahirkan graduan yang mempunyai pengetahuan dalam sustainability, misalnya untuk ESG dan sebagainya yang memang menjadi tuntutan kepada pemain-pemain industri sekarang,” katanya.

Beliau berkata, MARA akan terus mengadakan kerjasama dengan pemain industri terkemuka bagi memastikan graduan yang dilahirkan mempunyai kemahiran dan kelayakan yang diperlukan pasaran pekerjaan.

Dalam pada itu, Radzuan berkata, pembangunan institusi pendidikan tidak hanya bergantung kepada penawaran program akademik, sebaliknya memerlukan ekosistem yang mampu menyediakan pengalaman pembelajaran menyeluruh serta memenuhi jangkaan industri.

“Apa yang kita bina hari ini bukan sekadar kerjasama akademik, sebuah kampus baharu atau pengiktirafan profesional.

“Yang lebih penting ialah membina sebuah ekosistem pendidikan yang memberi lebih banyak peluang kepada anak-anak Malaysia untuk memperoleh pendidikan bertaraf antarabangsa dan laluan yang lebih jelas ke arah kerjaya profesional.

“Apabila ekosistem ini kukuh, graduan yang kita lahirkan juga akan lebih diyakini oleh industri dan mampu bersaing di peringkat global,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button