DAP Perak sebulat suara kekal dalam Kerajaan Perpaduan
IPOH – DAP Perak sebulat suara memutuskan untuk terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan bagi menunaikan mandat rakyat serta meneruskan agenda reformasi negara.
DAP Perak dalam satu kenyataan hari ini berkata, ketetapan itu diambil bagi menggerakkan seluruh jentera parti untuk melaksanakan janji pilihan raya di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan itu menyebut, kerajaan pimpinan Anwar terbukti berjaya melaksanakan pelbagai pembaharuan sepanjang tiga tahun pentadbiran, selain meningkatkan imej serta kedudukan negara di pentas dunia.
“DAP mesti terus membuktikan kemampuan melalui pencapaian dan prestasi bekerja supaya tidak menghampakan harapan rakyat.
“Dengan kekal berada dalam kerajaan, kita dapat terus melaksanakan manifesto Pakatan Harapan (PH) termasuk reformasi institusi, kebebasan badan kehakiman, usaha membanteras rasuah, mengurangkan kos sara hidup, pembaharuan sistem pendapatan negara serta menjamin hak dan kebebasan masyarakat berbilang kaum,” kata kenyataan itu.
Dalam masa sama, DAP Perak turut menegaskan keperluan untuk merealisasikan sepenuhnya dasar dalam penggal ini bagi menggerakkan reformasi serta memacu pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Parti itu juga komited untuk menggembleng seluruh kekuatan untuk menunaikan mandat rakyat sambil kekal berpegang kepada aspirasi perjuangan ‘Malaysia untuk rakyat Malaysia’ dan mengingati amanah perjuangan.
Kenyataan itu turut menegaskan, demi mempertahankan kekuatan politik masyarakat majmuk yang inklusif dan progresif, DAP perlu kekal dalam Kerajaan Perpaduan bagi mengimbangi serta menghalang kuasa ekstrem daripada terus berkembang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








