BISNES & EKONOMI

KPJ Healthcare, SingHealth meterai kerjasama strategik perkukuh keupayaan penjagaan kesihatan masa hadapan

JOHOR BAHRU – KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SingHealth, kluster penjagaan kesihatan terbesar Singapura, bagi mewujudkan kerjasama strategik jangka panjang dalam bidang inovasi penjagaan kesihatan, penyelidikan klinikal, pendidikan dan simulasi perubatan.

Majlis pertukaran dokumen MoU yang berlangsung di Hospital Pakar KPJ Johor itu menjadi asas kepada kerjasama meliputi pembangunan tenaga kerja klinikal, penyelidikan dan inovasi, kolaborasi klinikal, kesihatan digital serta kecerdasan buatan (AI), selain pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik.

Pengerusi Majlis Tadbir Urus KPJ Health System (KPJHS) yang juga Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, cabaran besar dalam sektor kesihatan tidak dapat diselesaikan oleh sesebuah institusi secara bersendirian.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama kita untuk saling belajar daripada satu sama lain, bersama membangunkan bakat penjagaan kesihatan masa hadapan dan memajukan inovasi yang akhirnya meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.

“Nilai sesebuah kerjasama itu bukan ditentukan oleh dokumen yang kita tandatangani, tetapi oleh masa hadapan yang kita pilih untuk bina bersama.”,” katanya pada majlis berkenaan.

Dokumen MoU ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perubatan KPJ Healthcare, Profesor Datuk Dr. Hanafiah Harunarashid, manakala SingHealth diwakili Pengarah Kumpulan Kerjasama Antarabangsa, Prof. London Lucien Ooi.

Sementara itu, Prof. London berkata, MoU itu menyediakan rangka kerja kerjasama dalam beberapa bidang berkepentingan bersama termasuk inovasi penjagaan kesihatan, simulasi perubatan, pendidikan dan penyelidikan.

Menurutnya, kerjasama itu turut membuka ruang kepada pembangunan kepakaran, pengukuhan keupayaan klinikal serta kolaborasi multidisiplin yang memberi manfaat kepada pesakit dan profesional kesihatan.

Antara inisiatif awal yang akan dilaksanakan ialah program fellowship, penempatan pakar, pertukaran akademik, penyelidikan bersama, penerbitan saintifik, persidangan, pembangunan kepimpinan penjagaan kesihatan, simulasi perubatan serta pengurusan bersama kes klinikal yang kompleks.

Bagi KPJ Healthcare, kerjasama itu dijangka mempercepatkan pembangunan KPJ Health System menerusi integrasi amalan klinikal, pendidikan, penyelidikan dan inovasi melalui Future Health Institute (FHI), yang menjadi platform strategik untuk memperkukuh kerjasama dengan institusi akademik dan klinikal bertaraf dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button