17 maut, puluhan cedera dalam serangan besar-besaran Rusia ke atas Kyiv
LONDON – Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh manakala 44 lagi cedera selepas Rusia melancarkan serangan peluru berpandu balistik dan dron berskala besar ke atas Kyiv serta kawasan sekitarnya malam semalam.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata, serangan itu menyebabkan kemusnahan besar malah tentera udara Ukraine gagal memintas sebarang peluru berpandu yang dilancarkan berikutan kekurangan bekalan sistem pertahanan udara.
Menurut Tentera Udara Ukraine, Rusia melancarkan 115 dron dan 28 peluru berpandu, termasuk 24 peluru berpandu balistik serta empat peluru berpandu antikapal.
Bagaimanapun, hanya 98 dron berjaya dipintas, manakala kesemua peluru berpandu gagal dipintas, berdasarkan data awal yang dikeluarkan pihak tentera.
Serangan itu dilaporkan mengenai 26 lokasi di seluruh Ukraine.
Zelenskyy berkata, kebanyakan sasaran ialah gudang milik syarikat awam, selain infrastruktur dan sebuah stesen kereta api.
“Mereka turut menyerang kilang bir, gudang bahan binaan dan pusat logistik awam yang tiada kaitan dengan peperangan,” katanya menerusi hantaran di Telegram.
Beliau turut menggesa negara sekutu mempercepatkan penghantaran sistem pertahanan peluru berpandu balistik kepada Ukraine.
“Pemintas peluru berpandu balistik mampu menyelamatkan nyawa mereka yang terkorban hari ini.
“Rakan-rakan kami perlu memahami bahawa kelewatan menghantar sistem pertahanan atau keengganan membekalkannya hanya akan mengakibatkan lebih banyak kematian dan kemusnahan,” katanya menurut laporan agensi berita antarabangsa.
Zelenskyy turut menggesa Kumpulan Tujuh (G7), Kesatuan Eropah (EU) dan negara sekutu mengenakan sekatan baharu terhadap industri pengeluaran peluru berpandu balistik Rusia yang menurutnya masih belum dikenakan sekatan sepenuhnya.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan serangan besar-besaran itu menyasarkan pusat pengangkutan, logistik dan pengedaran di Kyiv serta wilayah sekitarnya.
Menurut kementerian itu, antara sasaran yang diserang ialah pusat penyimpanan dan pengedaran komponen dron, sistem peperangan elektronik serta tiga kapal kargo.
Dalam perkembangan sama, Rusia mendakwa berjaya memusnahkan sekurang-kurangnya 475 dron Ukraine dalam tempoh semalaman hingga pagi tadi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








