Pelakon veteran Kamarool Yusoff meninggal dunia
KUALA LUMPUR – Pelakon veteran, Kamarool Yusoff yang popular menerusi watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja dan Cik Man dalam Rock Oo dilaporkan meninggal dunia petang ini.
Berita pemergian Allahyarham yang berusia 67 tahun dikongsikan pelawak, Amir Raja Lawak menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. “Dimaklumkan, Kamarool Haji Yusoff atau lebih dikenali sebagai Farouk dan juga Cik Man baharu sahaja meninggalkan kita semua,” katanya.
Amir turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh serta mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga.
BACA JUGA:
Pelakon Cik Man kritikal di ICU, terpaksa ditidurkan susulan saluran jantung tersumbat
Terdahulu, Amir dalam satu hantaran di media sosial pagi tadi memaklumkan Kamarool berada dalam keadaan kritikal selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tanah Merah, Kelantan akibat saluran jantung tersumbat.
Menurutnya, Allahyarham terpaksa ditidurkan bagi membolehkan pasukan perubatan menjalankan rawatan, selain memaklumkan tiada pelawat dibenarkan ketika itu.
Kamarool mula dikenali menerusi watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja yang dibintangi bersama Faizal Hussein pada era 1980-an.
Beliau kemudiannya terus mencuri perhatian peminat menerusi watak Cik Man dalam filem Rock Oo arahan Allahyarham Mamat Khalid sekali gus mengukuhkan namanya dalam industri perfileman tempatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








