JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga rakyat Malaysia ditahan seludup syabu RM4.3 juta di Hat Yai

KUALA LUMPUR– Tiga rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand selepas dipercayai cuba menyeludup 87 kilogram (kg) syabu bernilai kira-kira RM4.3 juta yang disembunyikan dalam bagasi mereka di Stesen Kereta Api Hat Yai, semalam.

Jurucakap Polis Thailand berkata, ketiga-tiga suspek ditahan dalam operasi bersama melibatkan Unit Pencegahan Narkotik Polis Hat Yai, Pasukan Polis Kereta Api, Polis Pelancong dan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 9.

Menurutnya, suspek yang menaiki kereta api dari Bangkok ke Hat Yai ditahan selepas pasukan keselamatan melakukan pemeriksaan terhadap mereka sebaik tiba di stesen berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan dadah jenis methamphetamine kristal atau syabu yang disembunyikan dalam tiga beg pakaian beroda dan tiga beg galas milik suspek,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai untuk dihantar kepada sindiket pengedaran dadah yang beroperasi di Malaysia.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek turut mengaku dijanjikan bayaran sebanyak RM8,000 seorang sebagai upah membawa dadah tersebut ke destinasi yang telah ditetapkan.

“Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dalang utama serta rangkaian sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan ini.

“Siasatan turut melibatkan kemungkinan penglibatan individu lain sama ada di Thailand atau di luar negara,” katanya lagi.

Ketiga-tiga suspek kini direman dan disiasat mengikut undang-undang berkaitan dadah Thailand.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button