LUAR NEGARA

Korea Selatan larang aktiviti luar di kawasan terjejas gelombang haba

SEOUL – Pihak berkuasa Korea Selatan mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya menghentikan segera semua aktiviti luar di kawasan yang terjejas akibat gelombang haba melampau.

The Guardian yang memetik laporan Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA) berkata, bandar Yangsan di tenggara negara itu mencatat suhu 42.5 darjah Celsius petang semalam, sekali gus menjadi suhu tertinggi direkodkan sejak pengawasan cuaca moden bermula pada tahun 1904.

Yangsan menjadi pusat gelombang haba yang berterusan apabila suhu direkodkan melepasi 40 darjah Celsius selama lima hari berturut-turut sehingga semalam, manakala beberapa bandar lain termasuk Daegu dan Busan turut merekodkan suhu mencecah lingkungan 30-an darjah Celsius.

Lebih 20 kawasan berada di bawah amaran kecemasan gelombang haba setakat semalam, iaitu kategori amaran baharu yang diperkenalkan tahun ini bagi menangani peningkatan suhu.

Amaran kecemasan dikeluarkan apabila kawasan yang mengalami gelombang haba dijangka mencatat suhu dirasai 38 darjah Celsius atau suhu sebenar 39 darjah Celsius dalam tempoh sehari.

Dalam amaran cuacanya, KMA menggesa orang ramai supaya “menghentikan segera semua aktiviti luar”, sambil menegaskan bahawa “ruang tertutup tanpa penyaman udara adalah berbahaya.”

“Segera berpindah ke tempat yang lebih sejuk seperti pusat penyejukan yang ditetapkan atau kawasan teduh, selain memastikan tubuh kekal terhidrat sambil berehat,” menurut nasihat agensi itu.

Data KMA menunjukkan, purata bilangan hari gelombang haba tahunan di negara itu meningkat lebih dua kali ganda kepada 19 hari dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Saintis memberi amaran bahawa kejadian cuaca ekstrem seperti gelombang haba semakin kerap dan semakin teruk akibat perubahan iklim yang didorong oleh aktiviti manusia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button