Kilang kitar semula terbakar di Mahkota Beranang
SEMENYIH – Sebuah kilang kitar semula yang menyimpan sisa industri dan bahan plastik di Mahkota Beranang, di sini terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.18 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah bangunan kelas C berkeluasan kira-kira 100 x 200 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan sebanyak 50 peratus.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah kilang kitar semula bahan plastik yang turut menyimpan bahan buangan sisa industri.
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 6.46 pagi dan kerja-kerja pemadaman masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman dijangka mengambil masa lebih empat jam berikutan timbunan sisa industri yang banyak serta bahan plastik yang mengeluarkan gas, sekali gus menyukarkan usaha memadamkan kebakaran sepenuhnya.
Katanya, setakat ini tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Operasi melibatkan 30 anggota bomba dari BBP Semenyih dengan bantuan BBP Bangi, Kajang dan Nilai menggunakan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) serta 12 lori tangki air.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















