Pendidikan perlu bentuk sahsiah, bukan sekadar lahirkan individu berilmu – Raja Permaisuri Agong
KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah bahawa tanggungjawab utama sesebuah masyarakat bukan sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan kepada generasi muda, sebaliknya membentuk sahsiah dan nilai murni mereka demi kesejahteraan masa depan negara.
Seri Paduka Baginda bertitah dengan memetik pandangan Allahyarham Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas bahawa matlamat pendidikan bukan hanya melahirkan individu yang berpengetahuan dan mampu bekerja, tetapi membentuk insan yang berakhlak serta mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.

“Prinsip ini amat relevan pada masa kini. Kemajuan sesebuah masyarakat bukan dicapai melalui kejayaan intelek semata-mata, tetapi juga dengan empati, belas ihsan dan rasa ambil berat yang mendalam terhadap kesejahteraan semua.
“Saya percaya pendidikan bukan sahaja mengembangkan ilmu pengetahuan, malah membuka hati untuk memahami perspektif serta pendapat yang berbeza dan mengingatkan kita tentang kemanusiaan bersama,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Kedoktoran Psikologi daripada University of Reading dalam satu istiadat di Johor Bahru semalam.
Raja Permaisuri Agong turut menegaskan bahawa dalam era kemajuan teknologi yang pesat mengubah cara hidup masyarakat, institusi pengajian tinggi memikul tanggungjawab lebih besar daripada sekadar menyampaikan ilmu dan latihan teknikal.
Sebaliknya, titah baginda, universiti perlu memainkan peranan penting dalam memupuk perwatakan, integriti dan nilai murni dalam kalangan pelajar agar mereka mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat sejagat.
“Pendidikan mesti memberi inspirasi kepada kita untuk mencari satu perjuangan dan menyumbangkan apa yang telah dipelajari ke arah kesejahteraan kemanusiaan sejagat.
“Inilah sebabnya bidang psikologi amat relevan pada hari ini kerana ia mengingatkan kita tentang kepentingan memahami tingkah laku manusia, motivasi, daya tahan serta hubungan sesama insan dalam membina masyarakat yang lebih kukuh dan harmoni,” titah baginda.
Penganugerahan Ijazah Kehormat Kedoktoran Psikologi itu merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan berterusan Raja Permaisuri Agong dalam memperkasakan pendidikan, pembangunan insan dan khidmat kepada masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















