JENAYAH & MAHKAMAH

Disyaki subahat lindungi PATI, suami isteri ditahan

PASIR PUTEH – Sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki bersubahat melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) susulan Ops Taring Wawasan di sebuah rumah di Kampung Gong Serapat, di sini malam tadi.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam serbuan itu, lapan warga Indonesia berusia 20 hingga 56 tahun yang sedang bersembunyi turut berjaya ditahan.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat pasangan suami isteri berada di rumah berkenaan.

“Bagaimanapun pemeriksaan lanjut mendapati tiga wanita warga Indonesia bersembunyi di ruang tamu rumah berkenaan.

“Susulan itu, kita menemui lima lelaki warga Indonesia berada dalam stor belakang rumah terbabit.

“Semua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan pasangan suami isteri serta warga Indonesia berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Susulan tangkapan berkenaan, kita merampas 10 unit telefon bimbit, satu unit rantai, mangga kunci dan anak kunci bernilai RM22,000. Ujian air kencing terhadap kesemua suspek adalah negatif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan awal mendapati, kesemua suspek warga Indonesia itu masuk ke Malaysia dari Thailand melalui pangkalan haram di sekitar sungai Kelantan, kelmarin sebelum dihantar ke rumah berkenaan.

“Kemasukan mereka diurus oleh ejen Indonesia yang tinggal di Indonesia dengan bayaran RM4,000 seorang.

“Mereka mengaku ingin ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja pembersihan yang akan diuruskan oleh seorang lelaki tempatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26J Atipsom 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button