LUAR NEGARA

Gempa bumi cetek gegar Naples, bekalan elektrik terputus

ROME – Gempa bumi berukuran 4.7 magnitud menggegarkan kawasan Campi Flegrei berhampiran bandar Naples di selatan Itali semalam, menyebabkan gangguan bekalan elektrik, perkhidmatan kereta api dan metro, selain merosakkan beberapa bangunan.

Institut Geofizik dan Vulkanologi Kebangsaan Itali memaklumkan, gempa yang berlaku pada pukul 7.46 malam waktu tempatan itu berpusat di kawasan Campi Flegrei, di barat Naples, pada kedalaman cetek, kira-kira tiga kilometer.

Menurut Jabatan Bomba Itali, beberapa bangunan di sekitar Naples mengalami kerosakan kecil, namun setakat ini tiada laporan mengenai kecederaan atau kehilangan nyawa.

Katanya, pihak bomba juga tidak menerima sebarang panggilan kecemasan yang memerlukan operasi menyelamat.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa tempatan menggantung sementara perkhidmatan kereta api dan metro bagi memastikan keselamatan orang ramai.

Media tempatan melaporkan gegaran itu merupakan antara yang paling kuat pernah direkodkan di kawasan Campi Flegrei, sekali gus menyebabkan penduduk di beberapa kawasan bertempiaran keluar dari rumah dan bangunan.

Tanah runtuh yang berlaku kesan daripada gempa bumi di Naples, selatan Itali, semalam.

Campi Flegrei merupakan kawasan kaldera gunung berapi yang padat dengan penduduk dan meliputi sebahagian besar wilayah barat Naples.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kawasan berkenaan mengalami peningkatan aktiviti seismik sehingga mendorong kerajaan Itali mempertingkat pemantauan bagi mengesan sebarang perubahan yang boleh mengundang risiko kepada penduduk.

Walaupun gempa bumi berskala kecil kerap berlaku di kawasan itu, gegaran yang lebih kuat mencetuskan kebimbangan berulangnya krisis seismik pada awal 1980-an yang mengakibatkan gangguan besar serta memaksa ribuan penduduk meninggalkan kediaman mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button