BERITA SEMASAPMX

Pelajar Tingkatan Enam Rendah Negeri Sembilan bakal jadi sukarelawan F1 di Sepang

SEREMBAN – Pelajar Tingkatan Enam Rendah (Lower Six) di Negeri Sembilan bakal diberi peluang menjadi sukarelawan pada perlumbaan Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang sebagai pendedahan kepada penganjuran acara sukan bertaraf dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan meminta Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari supaya melibatkan mereka dalam program sukarelawan itu memandangkan kedudukan negeri tersebut yang berhampiran dengan Sepang.

“Nanti saya beritahu kepada Menteri Belia dan Sukan untuk ambil juga pelajar Lower Six dari Negeri Sembilan kerana dekat dengan Sepang supaya mereka dapat menjadi sukarelawan F1 dan memperoleh pendedahan kepada perlumbaan kereta paling istimewa di dunia,” katanya ketika berucap pada program Temu Anwar di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, di sini hari ini.

Anwar berkata, Malaysia berpeluang menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 secara percuma selepas Bahrain tidak dapat menganjurkan perlumbaan berikutan konflik di Asia Barat.

Menurut beliau, Raja Bahrain telah menghubungi Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi mendapatkan persetujuan Malaysia untuk mengambil alih penganjuran perlumbaan tersebut.

“Agong kata dia boleh beri sokongan tapi perlu tanya kepada Perdana Menteri. Apabila tanya saya, nanti sekejap saya kata, ampun Tuanku sebab saya nak tahu pasal berapa kos.

“Kerana nak buat F1 ini kena bayar ratus-ratus juta ringgit, bukan percuma. Kena bayar subscription fee kepada F1 iaitu FIC,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar berkata, Perdana Menteri Bahrain kemudian memaklumkan negara itu telah pun membayar yuran penganjuran sebanyak RM290 juta kepada F1.

“Mereka kata, jika Malaysia bersetuju menjadi tuan rumah, Malaysia tidak perlu membayar yuran tersebut kerana Bahrain sudah menjelaskannya. Malaysia hanya perlu menganjurkan perlumbaan itu,” katanya.

Tambah Anwar, peluang menjadi tuan rumah F1 membuktikan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan mempunyai keupayaan mengurus acara bertaraf dunia.

“Malaysia kerana aman, ekonomi tersusun baik dan keupayaan kita mengurus hal-hal ini diberikan peluang anjur F1 percuma di Sepang.

“Dia (Bahrain) boleh saja cari negara-negara lain, di ASEAN, Asia banyak, berpuluh yang tunggu peluang. Percuma pula tu.

“Sebab itu jaga negara ini, jaga baik. Jaga supaya lebih aman, hormat antara satu sama lain,” katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan masih terdapat kos operasi lain yang perlu ditanggung bagi memastikan penganjuran berjalan lancar.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan semua kementerian dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia supaya membuat persiapan rapi bagi memastikan kelancaran penganjuran acara berprestij berkenaan.

“Alhamdulillah, semalam saya telah memanggil Ketua Setiausaha Negara dan semua ketua setiausaha untuk menyelaraskan segala persiapan termasuk urusan imigresen, kastam dan polis supaya semuanya berjalan dengan cekap dan baik,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button