BERITA SEMASAPMX

Malaysia sasar 70 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050 – PM

KUALA LUMPUR – Malaysia komited meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui kepada 70 peratus menjelang 2050 menerusi pelaksanaan Peta Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) bagi memastikan bekalan tenaga yang lebih stabil, mampu milik dan mesra alam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, NETR menetapkan tiga objektif utama iaitu menjamin bekalan tenaga yang stabil dan boleh dipercayai, menjadikan sektor tenaga sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi serta mengurangkan pelepasan karbon tanpa menjejaskan ekosistem semula jadi.

Beliau berkata, kerajaan menyasarkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui mencecah 31 peratus menjelang 2025 sebelum meningkat kepada 40 peratus pada 2035 dan akhirnya 70 peratus pada 2050.

“Kerajaan juga komited untuk tidak membina loji janakuasa arang batu baharu serta menghentikan operasi loji sedia ada secara berperingkat.

“Gas asli akan terus memainkan peranan sebagai sumber penstabil dalam tempoh peralihan menuju penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang lebih tinggi,” katanya.

Menurut beliau, negara-negara ASEAN juga perlu memperkukuh kerjasama serantau dalam sektor tenaga melalui platform seperti ASEAN Power Grid selain memperluaskan kerjasama dengan China dan rakan strategik lain.

Anwar berkata, teknologi serta inovasi yang dimiliki Greater Bay Area (GBA) mampu mempercepat pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan sistem tenaga moden yang saling berhubung merentasi sempadan.

Beliau turut berpandangan ASEAN tidak seharusnya mengetepikan potensi tenaga nuklear kerana rantau ini mempunyai pengalaman kawal selia dan kepakaran teknikal yang mencukupi untuk membangunkan sumber tenaga tersebut secara selamat.

“Sememangnya sasaran ini amat bercita-cita tinggi. Namun kerajaan bersama pemain industri komited untuk merealisasikannya demi manfaat jangka panjang kepada rakyat serta bumi yang kita warisi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button