Politik

UMNO tarik balik pemecatan Lokman Noor Adam

CYBERJAYA – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat malam tadi, membatalkan pemecatan Datuk Lokman Noor Adam sebagai ahli MKT UMNO.

Lokman berkata, perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melalui panggilan telefon.

“Alhamdulillah, baru terima panggilan daripada Mohamad bahawa MKT UMNO malam ini (tadi) telah membatalkan pemecatan saya. Kini saya kembali sebagai ahli MKT UMNO,” kata Lokman dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, malam tadi.

Sebelum ini, Lokman dipecat daripada UMNO pada 7 Februari 2020.

Pemecatan Lokman dipercayai berkaitan dengan pendedahan rakaman audio yang didakwa menggambarkan percubaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meyakinkan pemimpin parti itu supaya bekerjasama dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika itu, Lokman mendakwa pemecatannya dilakukan semasa mesyuarat MKT melalui proses mengundi angkat tangan.

Tambah Lokman, dengan pembatalan pemecatan itu, haknya untuk bertanding dalam pemilihan UMNO juga dikembalikan.

Show More

Related Articles

Back to top button