PRN Negeri Sembilan: Syahredzan dakwa BN berisiko ‘ditelan’ PN jika kerjasama diteruskan
SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) berisiko hilang pengaruh sekiranya meneruskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), dakwa Naib Pengerusi DAP, Syahredzan Johan.
Beliau berkata, perkembangan terbaharu melibatkan cadangan kerjasama yang disebut sebagai “Perikatan Barisan Nasional” menunjukkan seolah-olah PN cuba mengambil kedudukan lebih dominan dalam gabungan berkenaan.
Menurutnya, BN sebelum ini menyifatkan PN sebagai rakan yang boleh dipercayai, namun beliau mempersoalkan hala tuju kerjasama itu apabila cadangan nama gabungan baharu mula diketengahkan sebelum sebarang kemenangan dicapai.
“Sebelum ini Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) ketika pengumuman calon menyebut di Negeri Sembilan ada persahabatan dengan rakan yang boleh dipercayai. Kita tahu rakan itu merujuk kepada PAS dan PN.
“Tetapi sekarang baru nak berkawan, belum menang apa-apa pun, sudah ada cadangan nama ‘Perikatan Barisan Nasional’,” katanya pada sidang media PH di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Zainuddin Hamzah yang mencadangkan istilah “Perikatan Barisan Nasional” selepas parti itu menyertai PN.
Syahredzan berkata, perkembangan itu sebagai sesuatu yang menarik kerana parti yang baru menyertai gabungan berkenaan dilihat sudah memainkan peranan besar dalam menentukan hala tuju kerjasama.
“Baru masuk, sudah mahu menjadi ketua. Sedangkan parti itu baru menyertai gabungan dan hanya mempunyai bilangan kerusi tertentu. Tetapi sudah mahu berada di hadapan.
“Saya kagum bagaimana gerakan politik itu berlaku sehingga BN dilihat seperti terpaksa menjadi pihak kedua dalam kerjasama tersebut,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Syahredzan mendakwa sekiranya kerjasama berkenaan diteruskan, BN berkemungkinan kehilangan kekuatan politiknya kepada PN dan PAS.
Beliau turut mengaitkan sejarah kerjasama PAS dengan beberapa parti sebelum ini yang menurutnya berubah mengikut keadaan politik semasa.
“PAS mempunyai rekod. Mereka pernah bersama dengan pihak tertentu, kemudian apabila keadaan berubah mereka bergerak ke arah lain. Parti Bersatu juga sedang melalui pengalaman tersebut,” katanya lagi.
Beliau berkata, DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) memahami corak politik PAS berdasarkan pengalaman terdahulu.
“Kalau BN masih merasakan ini adalah rakan yang boleh dipercayai, saya ucapkan selamat maju jaya. Tetapi kalau sudah nampak apa yang berlaku dan masih mahu masuk ke lubang yang sama, jangan pula nanti meminta simpati,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















