Kemerdekaan dibina atas perpaduan, bukan perpecahan – Anwar
IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak membenarkan mana-mana pihak memecahbelahkan masyarakat dengan memainkan sentimen kaum, sebaliknya terus mempertahankan semangat perpaduan yang menjadi asas kemerdekaan negara.
Beliau berkata, kemerdekaan negara tidak mungkin dapat dicapai tanpa kekuatan semua kaum, dengan orang Melayu sebagai teras, selain penyertaan masyarakat Cina, India, Dayak, Kadazan dan kaum-kaum lain yang bersama-sama membina negara.
Menurutnya, generasi muda perlu memahami bahawa kemerdekaan bukan dicapai oleh satu kaum semata-mata, sebaliknya hasil kerjasama seluruh rakyat Malaysia.
“Apakah kita bebas atau mampu hidup sendiri? Adakah kita capai kemerdekaan itu tanpa semangat kebangsaan Melayu dan kekuatan orang Melayu sebagai induknya? Itu pangkalnya mesti diterima oleh orang Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazan.
“Apakah mungkin kemerdekaan dicapai kalau tidak bersama dengan Cina, India dan kaum lain? Tidak,” katanya ketika berucap sebelum meluncurkan pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di sini, hari ini.
Anwar berkata, kekuatan negara bergantung kepada perpaduan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama, justeru rakyat tidak seharusnya terus dibelenggu dengan isu perbezaan warna kulit selepas negara mencapai kemerdekaan.
“Jangan izinkan orang lain memecahbelahkan kita kerana negara ini merdeka dengan kekuatan semua rakyat Malaysia.
“Bukan bicara tentang mengangkat darjat rakyat dan negara, tetapi sibuk cakap soal warna kulit, bicara tentang perbezaan,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan semua kaum kepada pembangunan negara tidak boleh dinafikan dan perlu terus dihargai.
“Pada tahun 2026 kita ada Melayu, India, Cina, Iban dan Kadazan. Apa tidak ada penyertaan semua itu? Semua tahu. Jadi mengapa hal itu harus dipertikai dan dipecahbelahkan?
“Apakah kita boleh nafikan penyertaan semua? Tidak boleh kita nafikan,” katanya.
Anwar turut mengimbau slogan yang diperkenalkan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, iaitu ‘Bersekutu Bertambah Mutu’ yang menurut beliau masih relevan dalam membina negara sehingga hari ini.
“Bapak-bapak kita dulu, Tunku Abdul Rahman memilih moto ‘Bersekutu Bertambah Mutu’. Maknanya bapak dan ibu kita sudah tahu bersekutu kerana kita berbeza kaum, agama dan budaya.
“Kalau kita berpakat, bertambah mutu. Mengapa generasi sekarang fikir mesti berpecah dengan sentimen dan hasutan kelompok politik yang tidak berfikir tentang bersekutu?” katanya.
Beliau berkata, rakyat perlu menerima hakikat bahawa Malaysia ialah sebuah negara yang dibina atas kepelbagaian kaum, agama dan budaya, dan perpaduan itu perlu dipupuk sejak di bangku sekolah.
“Anak-anak Melayu, Cina dan India mesti menunjukkan teladan. Ada di sekolah kebangsaan, sekolah Cina, sekolah Tamil, ada Orang Asli. Apa tak boleh kita jadi matang untuk menjadikan Perak dan Malaysia negeri yang bersatu dengan semua kaum?
“Kalau mahu mula dengan penyatuan ini, untuk apa bersatu? Sebab saya percaya Malaysia boleh jadi negara hebat sekarang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















