BERITA SEMASA

IRC 2026 tumpu potensi teknologi kuantum, cabaran keselamatan siber di Malaysia

KUALA LUMPUR – Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 yang berlangsung minggu depan akan memberi tumpuan kepada potensi teknologi kuantum dalam sektor komunikasi di Malaysia, di samping membincangkan cabaran keselamatan siber susulan keupayaan teknologi itu memintas sistem penyulitan sedia ada.

Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan), Eneng Faridah Iskandar berkata, persidangan berkenaan akan meneroka masa depan teknologi kuantum di Malaysia serta potensi aplikasinya dalam pelbagai sektor, khususnya komunikasi.

Menurut beliau, teknologi kuantum masih berada pada peringkat awal di Malaysia dan ketika ini lebih banyak diterokai oleh golongan akademik, sedangkan beberapa negara telah memanfaatkannya untuk memacu inovasi industri melalui pengkomputeran berprestasi tinggi yang digabungkan dengan kecerdasan buatan (AI).

“Perbincangan minggu depan sebahagian besarnya akan tertumpu kepada masa depan teknologi kuantum di Malaysia, manfaatnya serta bentuk aplikasi yang boleh digunakan, khususnya dalam sektor komunikasi,” katanya dalam program The Nation terbitan Bernama TV.

irc 2026
IRC 2026 kembali buat kali ketiga sejak 2024, menghimpunkan pengawal selia, pemimpin industri dan pakar global bagi membincangkan masa depan ekosistem digital meliputi AI, keselamatan siber, privasi data serta tadbir urus digital.

Beliau berkata, sesi khas mengenai teknologi kuantum akan menghimpunkan naib canselor sebuah universiti awam tempatan, ahli akademik serta wakil IBM bagi membincangkan potensi teknologi tersebut dalam memperkukuh pembangunan negara.

Selain manfaatnya, Eneng Faridah berkata, aspek keselamatan siber turut menjadi fokus utama apabila teknologi kuantum berupaya menyahsulit sistem penyulitan yang digunakan pada masa ini, sekali gus menimbulkan cabaran baharu kepada keselamatan komunikasi digital.

“Teknologi kuantum mempunyai keupayaan yang amat tinggi hingga berpotensi menyahsulit sebarang kaedah penyulitan yang digunakan ketika ini dan perkara itu turut menimbulkan kebimbangan,” katanya.

Mengulas skop keseluruhan IRC 2026, beliau berkata persidangan itu akan membantu pemain industri serta masyarakat memahami hala tuju teknologi baharu, termasuk jangkaan tempoh pelaksanaannya dan kepentingan konsep “keselamatan melalui reka bentuk” (security by design).

Beliau menambah, pendedahan awal kepada teknologi baharu itu penting bagi memastikan masyarakat memahami manfaatnya, di samping yakin bahawa aspek keselamatan dan kebimbangan pengguna diberi perhatian sejak peringkat awal pembangunan teknologi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button