SUKAN

Bola sepak satukan Sanchez-Trump di final Piala Dunia, walau hubungan dingin

MADRID – Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez dijadual menghadiri aksi final Piala Dunia 2026 bagi memberikan sokongan kepada skuad La Roja yang akan menentang juara bertahan, Argentina di Stadium MetLife, New Jersey, awal pagi Isnin ini.

Kerajaan Sepanyol memaklumkan, Sanchez akan menyaksikan perlawanan berkenaan sebelum meneruskan lawatan rasmi ke Algeria.

Turut dijadual hadir ialah Raja Sepanyol, Raja Felipe VI, Permaisuri Letizia serta dua puteri mereka, menurut kenyataan Istana Diraja.

Bagaimanapun, Presiden Argentina, Javier Milei dilaporkan tidak akan menghadiri perlawanan itu atas alasan kepercayaan karut.

Final tersebut turut dijangka menarik perhatian Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang sebelum ini mengesahkan kehadirannya.

Kehadiran Sanchez dan Trump menjadi tumpuan susulan hubungan kedua-dua pemimpin itu yang dilaporkan tegang sejak beberapa bulan lalu.

Sanchez sebelum ini lantang mengkritik beberapa dasar Trump, termasuk enggan membenarkan tentera AS menggunakan pangkalan tentera di Sepanyol dalam konflik Iran serta mengecam tindakan Washington yang menggulingkan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.

Pada sidang kemuncak NATO awal bulan ini, Trump turut melabel Sepanyol sebagai “rakan yang buruk dalam NATO” dan memberi bayangan AS tidak lagi berminat menjalinkan urusan perdagangan dengan negara itu.

Namun, Sanchez menegaskan hubungan Madrid dan Washington kekal positif serta memaklumkan beliau sempat mengadakan perbualan tidak rasmi bersama Trump mengenai bola sepak ketika sidang kemuncak berkenaan.

Menurut Sanchez, pertemuan itu berlangsung dalam suasana baik tanpa sebarang ketegangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button