DAP kekal bersama PH, keluar gabungan hanya untungkan lawan – Anthony Loke
KUALA LUMPUR – DAP tidak akan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) sebelum tamat penggal Kerajaan Perpaduan kerana langkah sedemikian hanya akan menguntungkan pihak lawan politik, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Menurut beliau, dalam konteks politik Malaysia yang berbilang kaum dan berasaskan sistem gabungan, DAP tidak mampu bergerak jauh jika memilih untuk bergerak secara bersendirian.
“Jika bergerak solo, mungkin mudah, tetapi peranan yang boleh dimainkan hanya sebagai pembangkang. Kita tidak dapat terlibat dalam proses pembinaan negara dan pentadbiran kerajaan.
“Jika benar-benar mahu membawa perubahan kepada kerajaan dan masyarakat, kita perlu berada dalam kedudukan yang mempunyai kuasa untuk melaksanakannya. Saya percaya kepada politik gabungan,” memetik CNA online.
Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata, tindakan meninggalkan PH hanya akan memenuhi kehendak pihak yang tidak mahu melihat DAP berada dalam kerajaan.
Beliau mengakui terdapat penyokong yang merasakan DAP tidak cukup lantang dalam memperjuangkan isu tertentu sejak menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Bagaimanapun katanya, kejayaan sesebuah parti dalam kerajaan bukan diukur berdasarkan sejauh mana ia bersuara, sebaliknya melalui keupayaan menyampaikan hasil kepada rakyat.
“Selepas menjadi kerajaan, apa yang penting ialah penyampaian. Bukan soal siapa paling kuat menjerit, tetapi apa yang mampu dilaksanakan dalam kekangan politik gabungan dan kerajaan,” katanya lagi.
Mengulas prestasi DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, Anthony mengakui keputusan yang dicatatkan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan parti itu.
Pada PRN Johor 11 Julai lalu, DAP memenangi enam daripada 17 kerusi yang ditandingi berbanding 10 kerusi pada 2022, manakala PH secara keseluruhan memperoleh lapan kerusi.
Namun beliau menegaskan keputusan itu bukan penolakan menyeluruh terhadap DAP kerana parti berkenaan masih mencatatkan peningkatan dari segi peratusan undi berbanding PRN Johor 2022.
Mengulas PRN Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada 1 Ogos depan, Anthony berkata, PH menyasarkan sekurang-kurangnya 20 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membentuk kerajaan negeri.
Beliau yang akan mempertahankan kerusi DUN Chennah berkata, PH akan mengetengahkan kempen berteraskan rekod pencapaian kerajaan negeri serta harapan untuk masa depan rakyat.
“Kita mahu menjalankan kempen yang positif, bercakap mengenai apa yang telah dicapai dan apa yang boleh dilakukan untuk rakyat pada masa hadapan.
“Saya sendiri akan menyelia kempen dan naratif pilihan raya. Saya mahu membawa kempen yang berasaskan harapan bahawa keadaan akan menjadi lebih baik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Anthony menegaskan DAP tidak mahu mencampuri kemelut berkaitan institusi diraja di Negeri Sembilan yang menjadi antara isu hangat menjelang pilihan raya negeri.
Menurutnya, perkara itu perlu diselesaikan dalam lingkungan institusi diraja berdasarkan adat serta peruntukan undang-undang yang berkaitan.
“DAP tidak mahu mengheret institusi diraja ke dalam politik. Isu tersebut perlu diselesaikan mengikut adat dan undang-undang institusi berkenaan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








