PIM 2026: 40 pempengaruh akan berentap acara bola sepak sempena Hari Malaysia
KUALA LUMPUR – Hampir 40 pempengaruh digital akan berhimpun dalam sebuah acara sukan dan hiburan terbesar sempena sambutan Hari Malaysia di Stadium Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, pada 15 September depan.
Pengarah Eksekutif Nakhoda Action Lab, Sayf Ismail berkata, acara Perlawanan Influencer Malaysia (PIM) 2026 itu yang dianjurkan pihaknya akan bermula jam 8 hingga 11 malam.
Beliau berkata, perlawanan itu bermatlamat menggabungkan dunia sukan, hiburan dan ekonomi kreatif dalam satu platform yang meraikan perpaduan rakyat Malaysia.
“PIM 2026 merupakan inisiatif pertama yang menghimpunkan industri sukan dan hiburan dalam satu acara berskala besar bersempena Hari Malaysia.
“Bola sepak merupakan sukan nombor satu negara dan menjadi sukan rakyat yang dekat di hati masyarakat Malaysia. Tidak kira bangsa, agama mahupun latar belakang, bola sepak sentiasa mempunyai keupayaan menyatukan masyarakat,” katanya semasa Majlis Sidang Media PIM 2026 di sini.
Menurut Sayf, sambutan Hari Malaysia itu disuntik dengan elemen lebih segar bagi mendekati generasi muda menerusi penggabungan sukan, kandungan digital, serta pengaruh positif para pencipta kandungan.
Beliau percaya sukan mampu menjadi wadah untuk memupuk semangat patriotisme dan perpaduan, di samping mengeratkan hubungan antara komuniti dengan industri kreatif.
”Penganjuran PIM 2026 turut membuka peluang kepada syarikat korporat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agensi serta jenama untuk berkolaborasi dengan komuniti pencipta kandungan melalui sebuah platform yang memberi impak kepada masyarakat.” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Projek PIM 2026, Suzana Sukaimi berkata, acara tersebut bukan sekadar sebuah perlawanan bola sepak, malah menjadi landasan jaringan profesional, pembangunan ekonomi industri influencer serta pengukuhan hubungan antara pencipta kandungan, jenama dan masyarakat dalam satu ekosistem yang positif.
“PIM 2026 bakal menghimpunkan barisan pempengaruh dari seluruh negara sebagai simbol perpaduan dan kolaborasi dalam industri kreatif.
“Kami juga berbesar hati dapat bekerjasama dengan Muhammad Imran atau CEO.FIFA (TikTok handle) yang
mengetuai pembangunan kandungan sebagai Content Producer Lead PIM 2026 bersama barisan pempengaruh yang terlibat.
“Acara seperti ini juga membuka peluang kepada para pempengaruh untuk membina jaringan profesional, menjalinkan kerjasama dengan jenama dan agensi, serta memperluaskan potensi kerjaya mereka.
“Pempengaruh hari ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh jenama tempatan dan antarabangsa. Melalui PIM 2026, kami berharap platform ini dapat menghubungkan komuniti, mencipta peluang baharu dan memberi impak positif kepada industri kreatif serta masyarakat.” katanya.
Sementara itu katanya, kombinasi pengikut dijangka mencapai hampir 20 juta pengikut merentasi TikTok, Instagram, Facebook dan YouTube, sekali gus memberikan nilai tambah yang tinggi kepada penaja dan rakan strategik.
Acara itu bakal dimeriahkan dengan kehadiran barisan pempengaruh digital popular antaranya CEO.FIFA, Erul Samah yang memiliki 102,000 pengikut di Instagram, serta Taufiq Hanafi dengan 211,000 pengikut di platform sama.
Turut serta dalam perlawanan tersebut adalah Aiman Sekaichii yang mempunyai 89,600 pengikut Instagram, di samping pempengaruh berpengaruh dengan 1.6 juta pengikut di TikTok, Adrian Edy.
Selain para pempengaruh, PIM 2026 turut dijangka disertai beberapa legenda bola sepak negara, para selebriti dan wakil-wakil tetamu jemputan khas dari pelbagai organisasi termasuklah swasta dan kerajaan, yang akan diumumkan sebelum hari perlawanan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
