JENAYAH & MAHKAMAH

Miliki lebih 31,000 liter diesel bersubsidi tanpa lesen, pemilik syarikat didenda RM25,000 

JOHOR BAHRU – Seorang pemilik syarikat penghantaran barangan didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki lebih 31,000 liter diesel bersubsidi tanpa lesen atau kebenaran yang sah.

Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Azizi Derani, 46, dan memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Azizi didapati memiliki 30,972 liter diesel di dalam sebuah lori tangki serta 237 liter lagi di dalam sebuah tangki besi yang diletakkan di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Kampung Sinaran Baru, Skudai, pada pukul 1 petang pada 15 Ogos 2022.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen yang sah.

Semasa rayuan, peguam Nurul Hidayah Basiran memohon hukuman ringan dengan memaklumkan anak guamnya menanggung empat isteri, 12 anak kandung, dua anak angkat serta lima anak tiri.

Beliau turut memaklumkan tertuduh merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal yang menghidap beberapa penyakit kronik dan baru menjalani pembedahan membuang ketumbuhan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dengan alasan tertuduh merupakan pesalah berulang yang pernah didenda RM7,000 pada November tahun lalu selain gagal menjelaskan tawaran kompaun sebanyak RM100,000.

Mahkamah turut memerintahkan sebanyak 31,209 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM74,901.60 dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button