BERITA SEMASA

WHO bimbang wabak Ebola di Congo semakin serius, lebih 2,000 kes direkod

KINSHASA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran wabak Ebola yang sedang melanda Republik Demokratik Congo (DRC) mungkin jauh lebih serius daripada data rasmi, dengan jumlah sebenar kes dipercayai dua hingga empat kali ganda lebih tinggi.

Setakat ini, pihak berkuasa kesihatan DRC merekodkan lebih 2,000 kes Ebola termasuk 754 kematian, manakala jangkitan telah merebak ke lima wilayah di negara Afrika Tengah itu.

WHO memaklumkan, tiada vaksin atau rawatan khusus tersedia bagi varian Ebola Bundibugyo yang mencetuskan wabak kali ini. Bagaimanapun, ujian klinikal pertama melibatkan ubat antivirus bagi merawat varian tersebut telah dimulakan.

Dalam perkembangan sama, pertubuhan kemanusiaan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) menyifatkan penularan wabak itu berlaku pada kadar yang belum pernah disaksikan sebelum ini.

“Dalam tempoh kurang lima minggu, jumlah kes yang disahkan meningkat tiga kali ganda, manakala angka kematian melonjak lebih lima kali ganda,” menurut MSF.

Menurut pertubuhan itu, jumlah jangkitan ketika ini telah melepasi separuh daripada keseluruhan kes yang direkodkan sepanjang wabak Ebola di DRC antara 2018 hingga 2020 yang berlanjutan hampir dua tahun.

Sementara itu, Ketua Program Kecemasan WHO, Chikwe Ihekweazu berkata, kira-kira 80 peratus daripada kes baharu tidak dikenal pasti dalam kalangan individu yang berada dalam senarai kontak pesakit sebelum ini.

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan penularan kini berlaku melalui rantaian jangkitan yang tidak dapat dikenal pasti, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap penyebaran wabak yang lebih meluas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button