Network School di Forest City: Imigresen periksa 266 warga asing dari 40 negara
KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan pemeriksaan terhadap komuniti antarabangsa di Forest City, Johor semalam, membabitkan 266 warga asing dari 40 negara.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, hasil semakan awal mendapati kesemua individu yang diperiksa memiliki dokumen imigresen yang sah berdasarkan rekod semasa.
Walau bagaimanapun, katanya, semakan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap syarat kemasukan, peruntukan Akta Imigresen 1959/63 serta undang-undang berkaitan.
“Setiap kemasukan warganegara asing ke Malaysia adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naziran itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Zakaria, pemeriksaan di pintu masuk negara dilaksanakan berdasarkan dokumen perjalanan yang dikemukakan, semakan pangkalan data berkaitan serta rekod penguatkuasaan yang tersedia ketika pemeriksaan dibuat.
Beliau berkata, JIM akan menjalankan siasatan lanjut terhadap mana-mana perkara yang menimbulkan keraguan atau sekiranya terdapat maklumat baharu berkaitan penyalahgunaan identiti, dokumen perjalanan, kemudahan imigresen atau pelanggaran syarat pas yang dikeluarkan.
“JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang imigresen atau penyalahgunaan kemudahan imigresen.
“Mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan penguatkuasaan berdasarkan hasil siasatan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Zakaria berkata, JIM akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi berkaitan bagi memastikan setiap aspek di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara menyeluruh, profesional dan berlandaskan undang-undang.
Katanya, langkah itu penting bagi memelihara keselamatan, kedaulatan serta kepentingan negara.
Sebelum ini, isu berkaitan Network School di Forest City menjadi perhatian selepas timbul dakwaan di media sosial mengenai penyertaan warga asing termasuk dakwaan membabitkan individu yang menggunakan pasport negara kedua.
Kerajaan Johor sebelum ini turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh termasuk terhadap identiti dan kewarganegaraan individu terbabit, dokumen perjalanan, jenis pas serta tujuan kemasukan ke Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








