JENAYAH & MAHKAMAH

Kes buli sekolah di Kedah catat penurunan drastik, hanya 7 kes direkodkan setakat Jun

ALOR SETAR – Statistik kes buli sekolah di negeri ini mencatatkan penurunan ketara, menyaksikan hanya tujuh insiden dilaporkan dari Januari hingga Jun tahun ini, jauh lebih rendah berbanding 43 kes bagi keseluruhan tahun sebelumnya.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, penurunan drastik itu merupakan hasil daripada pelaksanaan agresif kempen antibuli yang diselaraskan secara menyeluruh di peringkat sekolah, komuniti, serta melalui hebahan media.

Menurutnya, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, hanya tujuh kes buli direkodkan, yang mana beliau percaya sebagai hasil kejayaan kempen antibuli yang dilaksanakan secara giat di peringkat sekolah.

“Statistik perbandingan kes buli di negeri pada tahun 2025 menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 43 kes berbanding tujuh kes tahun ini.

“Untuk tahun lalu, daripada 43 kes buli yang direkodkan, 32 daripadanya membabitkan pelajar sekolah menengah manakala sembilan kes di sekolah rendah dan masing-masing satu kes di sekolah persendirian serta maahad tahfiz.

“Berdasarkan rekod, Kuala Muda merekodkan jumlah kes tertinggi tahun lalu dengan 17 kes, diikuti enam kes direkodkan di Kulim, lima kes di Kubang Pasu manakala Baling, Sik dan Pendang pula tiga kes,” katanya.

Adzli berkata, daerah Kota Setar dan Langkawi masing-masing mencatatkan dua kes buli manakala daerah Yan dan Bandar Baharu satu kes.

Kelmarin, Adzli dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mendedahkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang membuat laporan palsu kononnya diculik turut menjadi mangsa buli di sekolah.

Mangsa pernah membuat laporan polis pada 18 Jun lalu yang mendakwa dibuli di sekolah lamanya di sebuah sekolah menengah di Alor Setar sebelum berpindah ke sebuah sekolah di Kuala Nerang.

Susulan daripada itu, polis menahan empat pelajar berusia 16 dan 17 tahun di sebuah sekolah menengah di Alor Setar kelmarin untuk membantu siasatan sebelum kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button