Hasrat santuni asnaf bongkar aktiviti penagihan dadah
KUALA LANGAT – Hasrat Skuad Saidina Umar (SSU) Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk menyantuni seorang wanita saudara baharu yang dilaporkan hidup dalam keadaan daif bertukar menjadi operasi yang tidak dijangka apabila beberapa individu di lokasi berkenaan ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kes dadah.
LZS dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima maklumat daripada Pusat Perlindungan Mualaf (Baitul Salam) mengenai seorang wanita mualaf yang tinggal bersama beberapa individu lain di sebuah kebun kelapa sawit dalam keadaan serba kekurangan.

Menurutnya, hasil semakan berdasarkan aduan bergambar, pasukan berjaya mengesan lokasi berkenaan yang didapati tidak mempunyai bekalan air dan elektrik, selain penghuni tinggal di dalam khemah.
“Maklumat awal mendapati mereka tidak mempunyai hubungan kekeluargaan antara satu sama lain.
“Susulan itu, satu pasukan operasi digerakkan selepas solat Isyak dengan kerjasama Operasi Agihan Daerah Kuala Langat, pihak masjid serta wakil kampung bagi menyantuni mereka dan mengenal pasti permasalahan sebenar,” menurut LZS menerusi hantaran di Facebook.
Bagaimanapun, sebaik sahaja pasukan tiba di lokasi, kesemua individu terbabit bertindak melarikan diri dan bersembunyi di kawasan gelap ladang kelapa sawit.
LZS memaklumkan pasukan mengambil masa lebih 30 minit memujuk mereka supaya memberikan kerjasama sebelum pemeriksaan di kawasan khemah menemui beberapa barangan yang disyaki berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang.
“Operasi kemudian dihentikan kerana penemuan itu berada di luar bidang kuasa kami sebagai agensi yang menawarkan bantuan kebajikan.
“Kami seterusnya membuat laporan polis sebelum menyerahkan kes kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut LZS, pasukan narkotik yang menjalankan pemeriksaan di lokasi kemudian mengesahkan kesemua individu terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya.
LZS berkata, insiden itu menggambarkan cabaran sebenar yang dihadapi amil zakat ketika menjalankan kerja-kerja menyantuni golongan asnaf dan mustahiq.
“Bukan semua kes dapat diselesaikan melalui bantuan kewangan. Ada juga keadaan yang memerlukan campur tangan pihak berkuasa bagi memastikan jenayah dapat dibendung, selain memastikan bantuan zakat disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak,” kata LZS lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






