BERITA SEMASA

YADIM kecam penahanan mufti besar Baitulmaqdis, sokong pendirian tegas Menteri Agama

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengecam tindakan rejim Zionis Israel menahan Mufti Besar Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa, Sheikh Muhammad Hussein yang bukan sahaja mencabul kebebasan beragama malah merupakan penghinaan terhadap institusi keilmuan Islam dan kesucian Masjid Al-Aqsa.

Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, pihaknya juga menyokong pendirian tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, yang mengutuk tindakan rejim Zionis Israel menahan Sheikh Muhammad Hussein.

Beliau berkata, tindakan tersebut disifatkan sebagai pencabulan terhadap kebebasan beragama, di samping satu bentuk penghinaan nyata terhadap institusi keilmuan Islam serta kesucian Masjid Al-Aqsa.

“Mufti bukan sekadar seorang individu. Beliau ialah suara umat, penjaga ilmu dan lambang kewibawaan agama.

“Menahan seorang mufti tidak akan memadamkan cahaya kebenaran, sebaliknya hanya memperlihatkan ketakutan rejim Zionis terhadap suara yang mempertahankan hak, maruah dan kebebasan rakyat Palestin,” katanya menerusi satu kenyataan.

Related Articles

Beliau berkata, YADIM komited memupuk kesedaran mengenai isu Palestin dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi pelbagai inisiatif strategik, antaranya program ‘Wake Up 4 Aqsa’, Bulan Solidariti Dengan Palestin dan Umat Yang Tertindas, serta penganjuran forum, wacana, dan kempen advokasi secara berterusan.

Berteraskan prinsip Malaysia MADANI dan aspirasi ‘MADANI Membantu’, YADIM komited memperkukuh agenda solidariti Palestin menerusi tindakan konkrit bagi menjunjung nilai ihsan, kemanusiaan, serta keadilan sejagat.

YADIM akan menggerakkan seluruh rangkaian sukarelawan, Daie Komuniti, Rakan Siswa, Rakan Belia, serta ejen dakwah di seluruh negara bagi memperluas pendidikan masyarakat mengenai isu Palestin, sekali gus memperhebat program kemanusiaan untuk membela nasib rakyat Palestin.

“Apa yang berlaku di Al-Aqsa bukan isu yang jauh daripada kita. Solidariti ini akan terus diterjemahkan melalui program-program yang menyedarkan masyarakat dan menyuburkan nilai
kemanusiaan sejagat,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button