BERITA SEMASADALAM NEGERI

Malaysia garis lima komitmen perkasa sektor perladangan mampan

KUALA LUMPUR – Malaysia komited memperkukuh kedudukan sebagai peneraju global dalam sektor perladangan mampan menerusi penerapan inovasi, pendigitalan dan amalan kelestarian bagi memastikan industri komoditi negara terus berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, lima komitmen utama bagi memperkukuh daya saing sektor perladangan negara adalah mempercepat inovasi, penyelidikan dan pendigitalan; memperkasa pekebun kecil serta komuniti perladangan; meningkatkan penciptaan nilai menerusi industri hiliran; dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa.

Menurut beliau, komitmen tersebut akan menjadi hala tuju utama negara dalam memastikan sektor perladangan terus berdaya tahan, berinovasi dan mampu memenuhi keperluan pasaran global yang semakin menitikberatkan aspek kelestarian.

“Malaysia beraspirasi untuk muncul sebagai rujukan global dalam sektor perladangan mampan yang dipacu oleh inovasi, sains dan teknologi serta diyakini oleh masyarakat antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perladang Antarabangsa Ke-11 (IPC 2026) di Royale Chulan Kuala Lumpur, hari ini.

Dr. Noraini Ahmad (tengah) pada Persidangan Perladang Antarabangsa Ke-11 (IPC 2026) di Royale Chulan Kuala Lumpur, hari ini.

Noraini berkata, kerajaan turut mempercepat penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, dron, teknologi satelit dan analitik data bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi serta daya saing industri perladangan negara.

Beliau bagaimanapun menegaskan teknologi perlu dimanfaatkan untuk memperkasa tenaga kerja dan bukannya menggantikan peranan manusia, selain disokong dengan pembangunan bakat serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berterusan.

Dalam aspek kelestarian, beliau berkata kerajaan akan terus memperkukuh pelaksanaan pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) bagi meningkatkan keyakinan pasaran antarabangsa terhadap industri sawit Malaysia, di samping memastikan pekebun kecil terus menerima manfaat daripada agenda kemampanan negara.

Beliau turut menegaskan bahawa masa depan industri perladangan tidak lagi hanya bergantung kepada pengeluaran komoditi mentah, sebaliknya perlu dipacu ke arah penghasilan produk dan penyelesaian bernilai tinggi seperti tenaga boleh baharu, bahan bio, farmaseutikal, nutraseutikal, bahan kimia hijau dan bahan api penerbangan mampan.

Katanya, pendekatan itu akan memperkukuh industri hiliran negara sekali gus mewujudkan sumber pertumbuhan ekonomi baharu yang lebih mampan dan berdaya saing.

Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa persidangan selama dua hari itu akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama strategik, berkongsi pengetahuan serta merangka penyelesaian inovatif bagi membentuk masa depan industri perladangan global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button