Tiada rakyat Malaysia terjejas dalam kebakaran pusat hiburan di Bangkok – Wisma Putra
PUTRAJAYA – Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam insiden kebakaran besar yang meragut sekurang-kurangnya 27 nyawa di sebuah premis komersial di Bangkok, Thailand, setakat ini.
Kementerian Luar menerusi Wisma Putra memaklumkan pihaknya, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, sedang memantau rapat perkembangan insiden yang berlaku awal pagi tadi.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan maklumat pihak berkuasa Thailand, sekurang-kurangnya 27 individu maut, manakala 63 lagi cedera dan menerima rawatan di hospital, termasuk 22 mangsa yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
“Pihak berkuasa Thailand juga telah melancarkan siasatan rasmi bagi mengenal pasti punca kebakaran,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau berada di Bangkok supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Kementerian turut menggesa rakyat Malaysia di Thailand supaya mendaftar serta mengemas kini maklumat perhubungan masing-masing melalui portal e-Konsular bagi memudahkan urusan komunikasi dan penyaluran bantuan konsular sekiranya berlaku kecemasan.
Bagi mereka yang memerlukan bantuan konsular, orang ramai boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok melalui talian +66 2 340 5720 atau e-mel di mwbangkok@kln.gov.my.
Wisma Putra memaklumkan pihaknya akan terus memantau situasi semasa dan menyalurkan maklumat terkini sekiranya terdapat perkembangan baharu yang membabitkan rakyat Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







