MCMC anjur Persidangan IRC 2026, fokus perkukuh tadbir urus digital dan kepercayaan
KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menganjurkan International Regulatory Conference (IRC) 2026 pada 21 hingga 22 Julai ini dengan menghimpunkan pengawal selia, pemimpin industri serta pakar dari dalam dan luar negara bagi membincangkan masa depan ekosistem digital global.
Menurut MCMC, persidangan yang membawa tema “Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust” itu akan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil di di Shangri-La di sini.
“IRC 2026 merupakan kesinambungan siri persidangan yang dianjurkan sejak 2024 dan bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam perbincangan dasar telekomunikasi serta pengawalseliaan komunikasi dan multimedia di peringkat antarabangsa.
“Antara fokus utama persidangan ialah pembangunan ekonomi digital, tadbir urus digital, perlindungan data peribadi, penyederhanaan kandungan (content moderation), keselamatan siber, penggunaan kecerdasan buatan (AI), serta usaha membina kepercayaan dalam persekitaran digital yang semakin kompleks,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman sesawangnya.
Dalam pada itu katanya, sepanjang dua hari persidangan, peserta akan mengikuti pelbagai sesi dialog membabitkan tokoh kerajaan, pengawal selia, akademia dan pemain industri dari Malaysia serta luar negara.
Katanya, topik yang akan dibincangkan termasuk keselamatan kanak-kanak dalam talian, akauntabiliti platform digital, hak pengguna terhadap data, cabaran penggubalan dasar dalam ekonomi digital, perkembangan AI, kesihatan digital serta kerjasama serantau dan antarabangsa dalam membentuk rangka kerja komunikasi digital masa hadapan.
“Antara organisasi yang bakal berkongsi pandangan termasuk UNICEF, SUHAKAM, ASEAN Secretariat, Internet Society (ISOC), Huawei Malaysia, IBM Quantum, Ericsson, CyberSecurity Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), PwC Southeast Asia, Maxis, Shopee Malaysia, TNG Digital, dan UMobile,” katanya.
Sementara itu MCMC memaklumkan persidangan ini akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam membentuk dasar pengawalseliaan yang seimbang, sekali gus memastikan inovasi digital dapat berkembang seiring dengan aspek keselamatan, daya tahan dan kepercayaan pengguna.
IRC 2026 dijangka mengukuhkan lagi peranan Malaysia sebagai hab perbincangan dasar digital serantau dan global, selaras dengan aspirasi negara dalam memacu transformasi digital yang mampan dan bertanggungjawab.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








