BERITA SEMASAPOLITIK

PRN Johor: PN akui kekalahan, seru muhasabah dan perkukuh jentera

KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) mengakui kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu dijadikan titik muhasabah bagi memperkukuhkan organisasi dan memperbaiki kelemahan menjelang pilihan raya akan datang.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kegagalan gabungan itu mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi sebelum ini membuktikan masih terdapat kelemahan yang perlu ditangani terutama dari aspek penyelarasan organisasi, kekuatan jentera serta kesatuan dalaman.

Menurut beliau, satu bedah siasat menyeluruh akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kekalahan sekali gus memastikan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan serta pilihan raya seterusnya lebih tersusun dan berkesan.

“PRN Johor sudah berakhir dan rakyat sudah membuat keputusan. PAS mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO atas kejayaan mengekalkan pentadbiran negeri Johor.

“Walaupun PAS dan PN tidak berjaya mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi sebelum ini, keputusan rakyat hendaklah diterima dengan hati terbuka serta dijadikan asas untuk bermuhasabah dan memperbaiki kelemahan,” katanya memetik laporan Metro Online.

Pada PRN Johor ke-16 semalam, BN berjaya mengekalkan penguasaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor apabila memenangi 48 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, manakala baki lapan kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berpandangan kemunculan parti baharu seperti BERSAMA dan MUDA masih belum mampu menawarkan alternatif yang benar-benar meyakinkan pengundi.

Menurutnya, pertandingan pelbagai penjuru turut memecahkan undi pembangkang sekali gus memberi kelebihan besar kepada BN.

Pada masa sama, beliau berkata perhatian kini seharusnya beralih kepada pelaksanaan janji-janji yang dibuat sepanjang kempen pilihan raya.

Katanya, antara yang menjadi perhatian ialah kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang sebelum ini berjanji akan meletakkan jawatan sekiranya PH gagal mencapai sasaran pada PRN Johor.

“Sudah semestinya rakyat sedang menunggu sama ada janji berkenaan akan ditunaikan. Pemimpin DAP ini perlulah menunaikan janji yang dilafazkan.

“Jika tidak DAP adalah parti yang hanya pandai berjanji namun tiada integriti,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button