‘Swing undi’ dari PN kepada BN punca PH kalah teruk – Khalid Samad
JOHOR BAHRU – Peralihan sokongan penyokong Perikatan Nasional (PN) kepada Barisan Nasional (BN) dikenal pasti sebagai faktor utama kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 semalam.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad berkata, perubahan corak pengundian itu di luar jangkaan gabungan berkenaan apabila sebahagian besar penyokong PN memilih untuk memberikan undi kepada calon BN.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan berlaku peningkatan ketara undi kepada BN sekali gus menjejaskan peluang PH untuk mempertahankan atau merampas lebih banyak kerusi.
“Kita mendapati sokongan penyokong PN beralih kepada BN dan itulah antara punca utama kekalahan ini. Ia sesuatu yang di luar jangkaan kita.
“Kita akan kembali ke ‘war room’ untuk menjalankan bedah siasat bagi mengenal pasti secara terperinci faktor yang membawa kepada keputusan ini,” katanya pada sidang akhbar malam tadi.
Beliau berkata, analisis awal turut mendapati Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hampir kehilangan sebahagian besar penyokongnya, manakala sebahagian pengundi PAS turut memberikan undi kepada calon BN.
“Perubahan atau ‘swing’ undi inilah yang menyebabkan berlaku pertambahan sokongan kepada BN dan akhirnya memberi kesan besar kepada keputusan pilihan raya,” katanya.
Selain peralihan undi penyokong PN, Khalid mengakui populariti Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, khususnya dalam kalangan pengundi muda, turut membantu mengukuhkan kedudukan BN.
Katanya, faktor tempatan serta keyakinan pengundi terhadap kesinambungan pentadbiran negeri yang dijanjikan BN turut mempengaruhi keputusan PRN kali ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan PH tidak melihat sokongan tradisinya merosot kerana gabungan itu berjaya meningkatkan peratusan keluar mengundi berbanding PRN Johor 2022.
“Kita tidak melihat sokongan terhadap PH berkurangan. Sebaliknya, kita perlu menilai semula pendekatan dan strategi menjelang Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan serta Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.
Tambah beliau, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan muktamad kerana PH akan meneliti data setiap saluran mengundi bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai trend pengundian dan pola peralihan sokongan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















