PMX

PRN Johor: Anwar tolak politik perkauman, tegas semua rakyat berhak dibela

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan pimpinannya akan terus membela semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang sambil menolak politik perkauman yang disifatkan hanya memecahbelahkan masyarakat.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, usaha memperkasakan orang Melayu akan terus menjadi keutamaan kerajaan, namun pada masa sama hak kaum lain yang memerlukan bantuan tidak boleh diketepikan.

“Saya nak martabatkan Melayu, saya nak Islam itu dimartabatkan dan dihayati. Saya nak Bahasa Melayu dipertingkatkan. Saya nak kawasan Melayu yang masih miskin dibantu. Ya.

“Tetapi kalau ada India miskin, tak boleh tolong? Kalau ada budak Cina dapat 10A, bagi dia peluang masuk universiti. Nak tolong? Saya kata, ya,” katanya ketika berucap pada Grand Finale Johor ke Depan Undi Harapan di Pasir Gudang di sini malam ini.

Anwar berkata, politik yang menggambarkan bantuan kepada sesuatu kaum sebagai ancaman kepada kaum lain hanya digunakan oleh pihak tertentu untuk terus meraih sokongan rakyat.

Menurut beliau, bantuan kepada masyarakat Cina atau India bukan bermaksud hak orang Melayu diabaikan, sebaliknya kerajaan bertanggungjawab memastikan setiap rakyat yang memerlukan menerima pembelaan sewajarnya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan DAP menghakis kepentingan orang Melayu, sebaliknya menyifatkan tuduhan itu sebagai propaganda yang sengaja dimainkan untuk menakutkan rakyat.

“Anak Melayu, anak saya. Anak Cina, anak saya. Anak India, anak saya. Anak Iban, anak saya,” katanya.

Anwar berkata, kekuatan Malaysia sejak sekian lama terbina hasil hubungan baik antara rakyat pelbagai kaum yang hidup, belajar dan membesar bersama tanpa mengira latar belakang.

Katanya, golongan muda kini semakin matang dalam menilai sesuatu isu dan tidak lagi mudah dipengaruhi sentimen perkauman yang dimainkan oleh pihak tertentu demi kepentingan politik.

Beliau berkata, negara memerlukan pemimpin Melayu yang berintegriti, rajin dan berwibawa, bukannya mereka yang menggunakan slogan perjuangan Melayu tetapi terpalit dengan salah guna kuasa serta rasuah.

Sehubungan itu, Anwar menyeru rakyat Johor membuat pilihan berdasarkan rekod kepimpinan, kejujuran dan keupayaan mentadbir negara, bukannya terpengaruh dengan politik kebencian yang memecahbelahkan masyarakat menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button