BERITA SEMASALUAR NEGARA

Doktor dipenjara seumur hidup kerana membunuh 15 pesakit

BERLIN – Seorang doktor penjagaan paliatif di Jerman dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah membunuh 15 pesakit dengan menyuntik dos sedatif membawa maut, manakala siasatan masih diteruskan terhadap puluhan lagi kematian yang disyaki mempunyai kaitan dengannya.

Mahkamah Berlin semalam mensabitkan lelaki berusia 41 tahun itu, yang hanya dikenali sebagai Johannes M., atas kesalahan membunuh 12 wanita dan tiga lelaki ketika melakukan lawatan rawatan ke rumah mangsa antara September 2021 hingga Julai 2024.

Hakim, Sylvia Busch, menyifatkan tertuduh sebagai ‘pembunuh bersiri’ dan berkata 15 sabitan itu mungkin hanya sebahagian kecil daripada jenayah yang dilakukannya.

Pendakwa raya sebelum ini memaklumkan doktor berkenaan turut disyaki terbabit dalam lebih 70 lagi kes kematian.

Mahkamah turut melarang Johannes daripada mengamalkan profesion perubatan buat selama-lamanya, selain memutuskan kesalahan itu mempunyai ‘tahap kesalahan yang amat berat’, sekali gus menyukarkan sebarang peluang untuk dibebaskan pada masa depan.

Menurut mahkamah, tertuduh tidak bertindak atas dasar belas ihsan terhadap pesakit, sebaliknya didorong keinginan menguasai mangsa. Pendakwa raya pula menyifatkan lelaki itu mempunyai ‘nafsu untuk membunuh’ tanpa motif lain selain membunuh.

Kesemua mangsa yang berusia antara 25 hingga 94 tahun berada di bawah jagaan tertuduh ketika kejadian.

Mahkamah mendapati beliau sengaja memberikan ubat bius dan pelemas otot yang melumpuhkan sistem pernafasan sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia dalam tempoh beberapa minit.

Siasatan turut mendapati tertuduh dipercayai membakar kediaman mangsa sekurang-kurangnya lima kali bagi menghapuskan bukti jenayah.

Pada Isnin lalu, Johannes mengaku di mahkamah bahawa dia telah ‘membunuh orang’ dan menyatakan kekesalan atas penderitaan yang dialami keluarga mangsa.

Kes itu mula terbongkar selepas penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan mengesan beberapa kematian mencurigakan sebelum membuat laporan kepada polis.

Johannes ditahan pada Ogos 2024 dan siasatan terhadap lebih banyak kematian yang disyaki berkaitan dengannya masih diteruskan.

Kes berprofil tinggi itu mengingatkan kepada skandal jururawat Jerman, Niels Högel, yang dipenjarakan seumur hidup pada 2019 selepas didapati bersalah membunuh 85 pesakit.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button