Hampir RM20 bilion dikeluarkan menerusi Akaun Fleksibel KWSP
KUALA LUMPUR – Sebanyak RM19.87 bilion telah dikeluarkan oleh 5.5 juta ahli daripada Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga 31 Mei lalu, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
MOF memaklumkan, baki simpanan dalam Akaun Fleksibel setakat tempoh sama berjumlah RM14.36 bilion.
Menurut MOF, berdasarkan laporan penyelidikan Enduring Today, Shaping Tomorrow: Akaun Fleksibel as a Financial Lifeline for Wellbeing yang diterbitkan pada April lalu, kira-kira 37 peratus atau lima juta ahli membuat sekurang-kurangnya satu pengeluaran daripada Akaun Fleksibel bagi tempoh Mei 2024 hingga Oktober 2025.
Dalam tempoh sama, sebanyak 63 peratus atau 8.4 juta ahli tidak membuat sebarang pengeluaran.
“Dalam kalangan ahli yang tidak membuat pengeluaran, sebanyak 44 peratus mempunyai baki simpanan mencukupi tetapi memilih untuk mengekalkan simpanan mereka, manakala 56 peratus pula tidak membuat pengeluaran disebabkan baki simpanan dalam Akaun Fleksibel adalah sifar atau terlalu rendah, iaitu di bawah amaun minimum RM50 untuk pengeluaran.
“Laporan sama turut menunjukkan, ahli yang membuat pengeluaran Akaun Fleksibel menggunakan kemudahan ini, terutama untuk menyokong keperluan hidup dan pengurusan perbelanjaan seharian.
“Antara tujuan utama pengeluaran adalah bagi memenuhi keperluan harian, diikuti perbelanjaan rawatan kesihatan dan pembayaran hutang,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen mengenai langkah kerajaan memastikan daya tahan dana persaraan KWSP susulan pelaksanaan Akaun Fleksibel.
Kementerian turut memaklumkan analisis KWSP mendapati corak pengeluaran Akaun Fleksibel yang diperkenalkan pada 11 Mei 2024 kini semakin stabil, dengan purata pengeluaran bulanan menurun kepada sekitar RM440 juta bagi tempoh Januari hingga Disember 2025.
Menurutnya, kerajaan dan KWSP terus melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan kelestarian dana persaraan, termasuk mengekalkan struktur simpanan teras, memantau trend pengeluaran, memperkukuh literasi kewangan ahli, menggalakkan caruman sukarela serta mengamalkan pengurusan pelaburan yang berhemat dan mampan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















