Pelajar dakwa dibuli kejar rakan dengan pisau pemotong kertas
ALOR GAJAH – Tindakan seorang pelajar Tingkatan Satu mengejar tiga rakannya dengan pisau pemotong kertas di sebuah sekolah menengah di sini dipercayai berpunca daripada kejadian buli yang dialaminya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian pada pukul 2.50 petang semalam berlaku ketika sesi kokurikulum sempena program penghargaan kehadiran pelajar di dewan terbuka sekolah berkenaan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati dua pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun dipercayai berulang kali membaling ais ke arah suspek yang berusia 13 tahun.
“Suspek yang dipercayai tidak dapat mengawal kemarahan kemudian mengeluarkan pisau pemotong kertas dari dalam bekas pensilnya sebelum mengejar salah seorang mangsa sejauh kira-kira 50 meter hingga ke kawasan surau sekolah.
“Dua lagi pelajar yang berada bersama mangsa turut melarikan diri kerana bimbang menjadi sasaran. Kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini..
Beliau berkata, seorang guru yang menyedari kejadian itu segera bertindak memujuk suspek sehingga pelajar terbabit melepaskan pisau yang dipegang, sekali gus mengelakkan insiden lebih buruk.
Katanya, tiada pelajar atau guru yang cedera dan ketiga-tiga mangsa kembali ke dewan selepas keadaan berjaya dikawal, manakala keluarga suspek dipanggil ke sekolah sebelum pelajar itu dibawa pulang.
Menurut Ahmad, siasatan turut mendapati semua pelajar yang terlibat mempunyai rekod salah laku disiplin sejak awal sesi persekolahan tahun ini.
Beliau berkata, suspek juga sedang menerima rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Melaka, dengan sesi rawatan terakhir direkodkan pada 3 Jun lalu, dan pihak sekolah sedia maklum mengenai keadaan pelajar berkenaan.
Katanya, satu laporan polis dibuat oleh seorang guru di Balai Polis Durian Tunggal pada malam kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















