28 maut dalam kebakaran kilang kasut di China
BEIJING – Sekurang-kurangnya 28 pekerja terbunuh selepas kebakaran besar melanda sebuah kilang kasut di bandar Jinjiang, wilayah Fujian, tenggara China semalam, menyebabkan puluhan mangsa terperangkap di dalam bangunan.
Menurut agensi berita Xinhua, kebakaran berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari di kilang Huiteng Shoes ketika seramai 239 pekerja berada di premis berkenaan.
Seramai 213 orang berjaya dipindahkan, namun dua mangsa meninggal dunia di hospital manakala 26 lagi yang sebelum ini dilaporkan hilang disahkan maut.
Rakaman yang disiarkan media tempatan menunjukkan api marak dengan kepulan asap hitam tebal menyelubungi bangunan lima tingkat itu, sementara beberapa pekerja dilihat berlindung di atas bumbung sambil menunggu bantuan.
Pihak bomba memaklumkan operasi menyelamat berdepan kesukaran apabila laluan tangga dihalang timbunan bahan pembuatan kasut, selain api merebak pantas akibat bahan mentah dan pelekat yang mudah terbakar.
Kebakaran berjaya dikawal beberapa jam kemudian.
Sementara itu, Presiden China, Xi Jinping mengarahkan usaha menyelamat dilaksanakan secara menyeluruh serta siasatan segera dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Pihak berkuasa turut menahan beberapa individu yang mengendalikan kilang berkenaan serta membekukan aset syarikat.
Jinjiang dikenali sebagai hab utama industri kasut China dengan lebih 7,000 syarikat menghasilkan sekitar 1.2 bilion pasang kasut pada 2024, bersamaan kira-kira 20 peratus pengeluaran kasut dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















