Didikan ibu bapa tentukan hala tuju akidah anak – Ustaz Azhar Idrus
KUALA LUMPUR – Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci dan memiliki fitrah untuk menerima Islam, namun ibu bapa memainkan peranan besar dalam membentuk pegangan akidah serta hala tuju kehidupan mereka.
Demikian penjelasan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus ketika menghuraikan maksud hadis Rasulullah SAW yang menyebut bahawa setiap anak dilahirkan di atas fitrah, kemudian ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.
Beliau berkata, hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim itu bukan bermaksud seseorang anak dilahirkan sebagai penganut agama tertentu, sebaliknya setiap insan lahir dalam keadaan suci daripada kesesatan akidah dan dosa.

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”
Menurut beliau, jika seseorang anak dibesarkan dalam keluarga bukan Islam, dia akan diajar serta dibimbing mengikut pegangan agama ibu bapanya.
Sebaliknya, anak yang dibesarkan dalam keluarga Islam akan dididik dengan ajaran Islam sehingga dewasa.
Beliau turut memetik pandangan ulama bahawa maksud ‘meyahudikan’, ‘menasranikan’ atau ‘memajusikan’ ialah ibu bapa mengajar anak-anak cara hidup dan kepercayaan mereka serta membawa mereka ke tempat ibadat masing-masing.
Katanya, perkara itu dijelaskan oleh Al-Khattabi dalam Ma’alim As-Sunan bahawa ibu bapa memperkenalkan dan membiasakan anak dengan agama yang dianuti sehingga ia menjadi pegangan hidup mereka.
Pandangan sama turut dihuraikan oleh Badruddin al-Aini yang menjelaskan bahawa ibu bapa berperanan mengajar serta mempengaruhi anak mengikut kepercayaan mereka sehingga anak cenderung mengikut agama keluarga.
Tambah beliau, anak-anak orang Islam juga tidak terkecuali daripada terpesong sekiranya mereka tidak diberikan pendidikan agama yang sempurna sejak kecil.
“Jika anak-anak Islam dibiarkan tanpa didikan syariat yang benar, tidak mustahil mereka akan membesar tanpa mengenal Allah, jahil terhadap sunnah Nabi SAW, mengabaikan kewajipan agama dan melakukan perkara yang dilarang syarak,” katanya melalui sesi soal jawab di saluran WhatsApp beliau.
Beliau berkata, keadaan itu dapat dilihat apabila ada segelintir ibu bapa mengaku beragama Islam tetapi gagal mendidik anak-anak mengenal Allah dan menghayati ajaran Islam dalam kehidupan seharian.
“Akibatnya, identiti Islam hanya tinggal pada nama, sedangkan cara hidup, pemikiran, percakapan dan tingkah laku tidak lagi mencerminkan ajaran agama,’ tegas beliau.
Dalam masa sama, beliau turut memetik penjelasan Imam al-Nawawi bahawa pendapat yang paling kuat ialah setiap anak dilahirkan dalam keadaan bersedia menerima Islam, manakala suasana keluarga dan didikan ibu bapa menjadi faktor penting yang membentuk pegangan agamanya di dunia.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan ibu bapa agar memikul amanah mendidik anak-anak dengan ilmu akidah, ibadah dan akhlak Islam sejak usia kecil supaya mereka terus istiqamah berada di jalan yang diredai Allah SWT.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















