Smart Traffic Light bantu kurangkan kesesakan di Simpang Pulai – KKR
KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah melaksanakan pemasangan Smart Traffic Light di beberapa persimpangan utama di Perak, termasuk kawasan Simpang Pulai sebagai langkah jangka pendek bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama pada hujung minggu dan musim perayaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sistem lampu isyarat pintar itu dipasang oleh Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak di lokasi yang dikenal pasti mempunyai kepadatan trafik yang tinggi.
“Sistem ini menggunakan teknologi pintar bagi mengoptimumkan masa lampu isyarat berdasarkan keadaan trafik semasa, sekali gus membantu melancarkan aliran trafik, mengurangkan kesesakan serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing yang meminta KKR mengkaji semula kesesuaian tapak serta saiz Plaza Tol Simpang Pulai dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), susulan peningkatan trafik di laluan yang menjadi pintu masuk ke Bandaraya Ipoh dan Cameron Highlands.
Alexander berkata, berdasarkan analisis kapasiti trafik, Plaza Tol Simpang Pulai di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) masih beroperasi pada Tahap Perkhidmatan A (Level of Service, LOS) iaitu masih berada dalam had kapasiti yang ditetapkan.
Katanya, plaza tol berkenaan mempunyai lapan lorong pembayaran tol, terdiri daripada tiga lorong masuk dan lima lorong keluar yang dilengkapi kemudahan pembayaran menggunakan Touch ‘n Go, RFID serta SmartTAG.
“Pihak syarikat konsesi turut menempatkan petugas pada waktu puncak dan musim perayaan bagi membantu pengguna membuat pembayaran tol menggunakan peranti mudah alih,” katanya.
Menurut beliau, purata trafik harian yang memasuki Plaza Tol Simpang Pulai ialah 13,864 kenderaan pada hari biasa dan meningkat kepada 15,251 kenderaan pada hujung minggu.
Bagi aliran keluar pula, purata trafik direkodkan sebanyak 13,051 kenderaan pada hari biasa dan 13,767 kenderaan pada hujung minggu.
Semasa musim perayaan dan cuti Hari Pekerja baru-baru ini, jumlah trafik harian yang memasuki plaza tol meningkat kepada antara 14,904 hingga 16,656 kenderaan, manakala trafik keluar mencecah antara 12,936 hingga 14,568 kenderaan.
Alexander berkata, kesesakan yang berlaku ketika musim perayaan bukan berpunca daripada kapasiti Plaza Tol Simpang Pulai, sebaliknya disebabkan limpahan trafik daripada rangkaian Jalan Persekutuan di bawah seliaan JKR yang mempunyai kapasiti lebih terhad.
Beliau berkata, LLM bersama syarikat konsesi akan terus memantau prestasi operasi plaza tol melalui analisis isipadu trafik, kapasiti, nisbah isipadu kepada kapasiti (V/C ratio), tahap perkhidmatan serta tempoh transaksi di plaza tol.
“Sekiranya penilaian menunjukkan prestasi operasi menghampiri had kapasiti atau tahap perkhidmatan semakin merosot, kajian lanjut akan dilaksanakan bagi mengenal pasti keperluan langkah penambahbaikan yang bersesuaian,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




















