Emergency blanket lebih sesuai berbanding plastik sampah hitam untuk cegah hipotermia ketika mendaki – pendaki Everest
KUALA LUMPUR – Pendaki negara, Mohd Khafiz Bachok menasihatkan setiap pendaki dan ketua ekspedisi supaya menggunakan emergency blanket sebagai kelengkapan keselamatan utama ketika mendaki berbanding hanya bergantung kepada plastik sampah hitam untuk menghadapi cuaca sejuk atau situasi kecemasan.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Kicok berkata, masih ramai hikers menganggap plastik sampah hitam mampu melindungi tubuh daripada kesejukan dan mengurangkan risiko hipotermia.
Malah katanya, ada ketua trip yang masih menyenaraikan plastik sampah hitam sebagai peralatan wajib dalam ekspedisi.
“Emergency blanket, yang lazimnya berwarna perak atau emas berkilat, direka khas untuk memantulkan semula haba badan, sekali gus membantu mengekalkan suhu tubuh mangsa.
“Selain itu, ia turut bertindak sebagai penghalang kepada angin dan hujan, menjadikannya lebih berkesan dalam situasi kecemasan.
“Sebaliknya, plastik sampah hitam hanya mampu memberikan sedikit perlindungan daripada angin dan hujan, namun tidak mempunyai keupayaan memantulkan haba badan, sekali gus kurang efektif dalam mengurangkan risiko hipotermia,” katanya yang berkongsi dalam laman Facebooknya.

Kicok yang merupakan rakyat Malaysia ke-30 berjaya menawan Gunung Everest bagaimanapun mengakui plastik sampah hitam masih boleh digunakan jika tiada pilihan lain.
Namun tegasnya, emergency blanket merupakan peralatan yang lebih tepat dan disyorkan.
Sehubungan itu, ketua-ketua trip digesa mengemas kini senarai kelengkapan wajib dengan memasukkan emergency blanket sebagai peralatan keselamatan asas menggantikan plastik sampah hitam.

“Biasakan menggunakan peralatan yang betul. Emergency blanket harganya murah, sangat ringan dan mudah disimpan dalam beg untuk tempoh yang lama.
“Walaupun mungkin tidak pernah digunakan, ia boleh menjadi penyelamat apabila berlaku kecemasan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














