Alan Tee seru politik matang, tolak sentimen kaum dalam kempen PRN Johor
JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Alan Tee Boon Tsong menyeru semua pihak mengamalkan politik matang dengan tidak memainkan sentimen berasaskan kaum menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, isu yang dihadapi rakyat seperti masalah kesesakan lalu lintas, ekonomi dan bencana tidak mengenal batas kaum, justeru pendekatan politik juga perlu melihat kepentingan semua lapisan masyarakat.
Katanya, beliau tidak mahu melayan atau membalas kenyataan yang cuba mengaitkan sokongan pengundi berdasarkan kaum kerana ia hanya boleh mencetuskan perpecahan.
“Saya rasa sekarang politik lebih matang. Kita tidak kira bangsa. Ada isu-isu kawan-kawan cakap orang Cina sokong Cina, Melayu sokong Melayu, India sama. Saya tidak mahu balas kerana nanti jadi kecoh.
“Masalah trafik, ekonomi dan banjir tidak ikut bangsa. Semua orang hadapi masalah yang sama. Jadi bila kita masuk pilihan raya, isu seperti ini dimainkan, saya tidak mahu balas,” katanya ketika ditemui selepas Program Malam Harapan di sini malam tadi.
Baca juga: Kartiyaini dakwa isu perkauman hanya muncul ketika musim pilihan raya
Alan Tee berkata, rakyat kini semakin memahami bahawa pilihan raya bukan lagi medan untuk membincangkan perbezaan kaum, sebaliknya memilih wakil rakyat yang mampu membawa penyelesaian terhadap isu harian mereka.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata sokongan diterima sepanjang kempen memberi semangat kepada pasukannya, dengan jumlah kehadiran penyokong yang semakin meningkat.
Menjelang hari pengundian yang berbaki kurang empat hari, Alan Tee menggesa pengundi, khususnya mereka yang bekerja di Singapura, supaya pulang menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat.
Katanya, kadar keluar mengundi menjadi cabaran utama dan setiap undi amat penting dalam menentukan keputusan PRN Johor.
“Ramai yang kata belum lagi nak keluar undi. Itu amat menyesalkan kami. Kalau turun mengundi rendah, cabaran lebih besar.
“Kita harap 11 Julai nanti semua keluar ramai-ramai, khususnya yang bekerja di Singapura supaya balik mengundi. Undi adalah hak dan tanggungjawab anda,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa pilihan raya diadakan terlalu awal sehingga boleh menyebabkan peratusan keluar mengundi rendah, Alan Tee berkata beliau tidak mengetahui asas kepada pandangan berkenaan.
Katanya, keputusan pilihan raya terdahulu tidak boleh dijadikan ukuran mutlak kerana keadaan sokongan rakyat boleh berubah berdasarkan perkembangan semasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















