DALAM NEGERI

Kes khianat paling banyak dilapor sepanjang kempen PRN Johor

JOHOR BAHRU – Kes khianat menjadi antara kesalahan yang paling banyak dilaporkan kepada polis sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, antara kes yang dilaporkan ialah kerosakan terhadap peralatan kempen, bahan kempen dan papan iklan parti politik.

Beliau berkata, semua laporan yang diterima disiasat mengikut seksyen 435, 426 dan 427 Kanun Keseksaan selain tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.

“Kita (polis) setakat ini masih dalam siasatan. Sekarang, saya pun tidak boleh ulas banyak perkara yang masih lagi kita teliti untuk kita lengkapkan kertas siasatan,” katanya memetik laporan RTM.

Beliau berkata demikian selepas mengundi di Dewan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) No 2, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Datuk Ab Rahaman berkata, statistik penuh mengenai jumlah laporan polis serta kertas siasatan yang dibuka akan diumumkan dalam satu kenyataan media selepas tamat proses pengundian pada pukul 5 petang ini.

Sementara itu, Polis Johor dalam kenyataan berasingan memaklumkan proses pengundian awal di negeri Johor berlangsung dalam suasana yang aman, terkawal dan teratur.

“Tahap keselamatan di semua pusat mengundi awal berada dalam keadaan baik, sekali gus memastikan proses pengundian disempurnakan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” menurut kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button