Insiden Kem Hobart tidak jejas latihan, operasi Tentera Darat – PAT
KUALA LUMPUR – Tentera Darat akan meneruskan operasi serta latihan di Kem Hobart, Kedah seperti biasa meskipun kem berkenaan sebelum ini terpalit dengan dua insiden yang mengorbankan dua anggota dan mencederakan dua lagi ketika latihan.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, kejadian itu tidak menjejaskan pelaksanaan latihan dan kesiapsiagaan pasukan, namun beberapa aspek termasuk prosedur operasi standard (SOP), fasiliti serta pemantauan di kem berkenaan sedang diteliti bagi tujuan penambahbaikan.
Katanya, penelitian itu dibuat bagi memastikan setiap ruang yang boleh dipertingkatkan dikenal pasti tanpa menjejaskan keperluan latihan anggota.
“Kita melihat sama ada terdapat ruang yang boleh ditambah baik dari segi SOP dalam pengendalian latihan tersebut.
“Penilitian aspek fasiliti dan pemantauan di Kem Hobart juga dijalankan bagi memastikan sebarang penambahbaikan yang diperlukan dapat dilaksanakan.
“Namun, perkara itu tidak menghalang kita untuk meneruskan latihan bagi meningkatkan kesiapsiagaan tempur pasukan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27) di sini hari ini.
Baca juga : LIMA’27: Empat pasukan aerobatik antarabangsa dijangka gegar langit Langkawi
Mengulas lanjut, Malek yang juga Panglima Tentera Darat berkata, siasatan berhubung insiden berkenaan masih diteruskan dan sebarang dapatan hanya akan dimaklumkan selepas proses siasatan selesai.
Dalam pada itu, beliau berkata, keutamaan Tentera Darat ketika ini adalah memastikan kebajikan keluarga anggota yang terkorban terus terpelihara termasuk segala bantuan serta hak yang sewajarnya diterima.
“Segala pengurusan berkaitan anggota yang terkorban telah diuruskan sebaik mungkin mengikut kelayakan. Saya sendiri menziarahi keluarga mangsa di Alor Setar pada Sabtu lalu dan bertemu isterinya.
“Walaupun anggota itu telah terkorban, keluarganya tetap sebahagian daripada keluarga Tentera Darat dan kita akan terus membantu mereka,” katanya.
Pada 16 Jun lalu, dua anggota Tentera Darat Malaysia dilaporkan maut selepas berlaku letupan bom tangan ketika menjalani latihan di lapang sasar di Kem Hobart.
Insiden kedua menyusul pada 29 Jun apabila dua lagi anggota cedera di bahagian lutut selepas dipercayai terkena serpihan objek yang melenting susulan masalah teknikal pada senjata mesingan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















