BERITA SEMASA

Bakal guru didedah kepada undang-undang digital melalui program SULAM

KUALA LUMPUR – Sekumpulan bakal guru dalam untuk Orang Kelainan Upaya (OKU), didedahkan dengan aspek literasi undang-undang digital menerusi Program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) SMT: OWLert! DigiDignity #YouTapJusticeTalks yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), baru-baru ini.

Program selama tiga hari dua malam itu dianjurkan oleh pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) daripada program Perhubungan Awam serta Pengurusan Komunikasi dan Polisi bagi meningkatkan kefahaman peserta mengenai undang-undang serta etika penggunaan platform digital.

Sepanjang program, peserta diberikan pendedahan mengenai Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) dan Akta Jenayah Komputer 1997 (CCA) melalui pendekatan pembelajaran interaktif yang menggabungkan latihan berkumpulan serta simulasi situasi sebenar.

guru
Sebahagian bakal guru lelaki yang menyertai program ini.

Pendekatan itu bertujuan membantu bakal guru memahami etika komunikasi digital, batas profesional dan risiko penyalahgunaan platform dalam talian, selain mengaplikasikan pengetahuan undang-undang secara lebih praktikal.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPGKIK, Nornazli Ayop berkata, program itu memberi manfaat besar kepada peserta.

“Banyak input kepada pelajar kami berkaitan program ini. Semuanya berjalan lancar dan pelajar kami gembira dengan penyampaian program ini,” katanya dalam kenyataan.

Keunikan program itu turut terserlah apabila disertai bakal guru dalam kalangan pendidik OKU yang berjaya mengikuti setiap aktiviti yang dijalankan.

Penglibatan mereka membuktikan pendidikan berkaitan keselamatan digital mampu dilaksanakan secara inklusif tanpa mengetepikan mana-mana golongan.

guru
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung.

Penganjuran program turut menerima sokongan daripada 23 penaja, sekali gus mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkasakan kesedaran mengenai keselamatan digital dalam kalangan bakal pendidik.

Sementara itu, Penasihat Program, Dr Yusof Zulkefli berkata, program SULAM memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan ilmu komunikasi dan perundangan secara langsung bersama komuniti.

Beliau berharap inisiatif berkenaan dapat melahirkan lebih ramai bakal pendidik yang celik undang-undang, beretika dan bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi digital.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button