Rusuhan penjara di Colombo ragut sekurang-kurangnya 25 nyawa
COLOMBO – Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh, manakala lebih 100 lagi cedera dalam rusuhan berdarah di Penjara Negombo, kira-kira 35 kilometer di utara ibu kota, selepas tercetusnya pergaduhan antara dua kumpulan banduan yang bertukar menjadi keganasan besar-besaran.
Insiden yang disifatkan antara rusuhan penjara paling buruk di Sri Lanka dalam tempoh beberapa tahun itu turut menyaksikan beberapa banduan menyerang anggota penjara dan cuba meloloskan diri sebelum keadaan berjaya dikawal oleh pasukan keselamatan.
Jurucakap Jabatan Penjara Sri Lanka, A.C. Gajanayake berkata, anggota keselamatan berjaya menggagalkan cubaan melarikan diri dan mengembalikan ketenteraman di penjara berkenaan.
Menurut sumber hospital, sekurang-kurangnya 18 banduan dan tujuh pegawai penjara terbunuh, manakala lebih 100 mangsa yang cedera menerima rawatan di beberapa hospital berhampiran.
Menteri Kehakiman, Harshana Nanayakkara berkata, siasatan awal mendapati rusuhan dipercayai berpunca daripada perselisihan antara dua kumpulan jenayah yang mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah di dalam penjara.
Katanya, pihak berkuasa turut memindahkan banduan yang dikenal pasti sebagai dalang rusuhan ke beberapa penjara lain bagi mengelakkan keganasan berulang.
Susulan kejadian itu, polis antirusuhan, Pasukan Tugas Khas (STF), tentera dan Tentera Udara Sri Lanka dikerahkan bagi memperketat kawalan keselamatan di sekitar penjara, manakala ahli keluarga banduan berkumpul di luar premis untuk mendapatkan perkembangan mengenai nasib saudara-mara mereka.
Rusuhan tersebut sekali lagi mendedahkan masalah kesesakan kronik yang membelenggu sistem penjara Sri Lanka.
Ketika ini, penjara di negara itu menempatkan lebih 39,000 banduan, sedangkan kapasiti sebenarnya hanya sekitar 10,000 orang.
Keadaan yang sesak, ditambah dengan kekurangan kemudahan dan penguasaan kumpulan jenayah di dalam penjara, sering dikenal pasti sebagai faktor yang mencetuskan ketegangan serta keganasan dalam kalangan banduan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















