BERITA SEMASA

Tindakan benar anak keluar kepala melalui sunroof boleh undang tragedi – PHM

KUALA LUMPUR – Tindakan membenarkan kanak-kanak mengeluarkan kepala melalui sunroof kenderaan yang sedang bergerak bukan sahaja berbahaya, malah boleh mengundang tragedi yang tidak diingini.

Perkara itu ditegaskan Public Health Malaysia (PHM) susulan tindakan polis menahan seorang wanita berusia 30 tahun selepas dua kanak-kanak dirakam mengeluarkan kepala melalui sunroof sebuah kereta yang sedang bergerak di Lebuhraya Grand Saga, Cheras, berhampiran Kampung Batu 10.

Menurut PHM, insiden itu tidak boleh dipandang ringan atau dianggap sekadar kanak-kanak berseronok, sebaliknya perlu dilihat sebagai isu keselamatan serius yang boleh mengancam nyawa.

“Dalam kenderaan yang sedang bergerak, satu brek mengejut, satu selekoh tajam, satu hentakan kecil atau satu kesilapan pemandu lain sudah cukup untuk mengubah keadaan menjadi tragedi,” menurut hantaran yang dimuat naik di Facebook hari ini.

PHM menjelaskan bahawa kanak-kanak tidak mempunyai keupayaan untuk menilai risiko seperti orang dewasa, justeru tanggungjawab memastikan keselamatan mereka terletak sepenuhnya di bahu ibu bapa atau

Katanya, sunroof direka untuk tujuan pencahayaan dan pengudaraan, bukannya sebagai ruang untuk penumpang, khususnya kanak-kanak, mengeluarkan kepala ketika kenderaan sedang bergerak.

“Anak mungkin menganggap tindakan itu menyeronokkan, namun orang dewasa perlu memikirkan kemungkinan buruk yang boleh berlaku sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka,” katanya.

PHM turut mengingatkan bahawa keselamatan kanak-kanak di jalan raya bermula sebelum sesebuah kenderaan memulakan perjalanan.

Sehubungan itu, ibu bapa disaran memastikan anak-anak duduk di tempat yang betul, memakai tali pinggang keledar serta menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak yang sesuai.

Selain itu, kanak-kanak juga tidak sepatutnya dibenarkan berdiri, melompat, duduk di tingkap atau keluar melalui sunroof ketika kenderaan sedang bergerak.

“Biar anak menangis sekejap kerana tidak dibenarkan. Jangan sampai kita menangis seumur hidup kerana menyesal,” tegas PHM.

Terdahulu, polis dilaporkan menahan seorang wanita berusia 30 tahun bagi membantu siasatan selepas video memaparkan dua kanak-kanak mengeluarkan kepala melalui sunroof sebuah kereta yang sedang bergerak tular di media sosial.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button