PRN Johor: Arthur kesal bahan kempen dirosakkan
KULAI – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan sabotaj dan perbuatan khianat ke atas bahan kempennya.
Beliau mendedahkan, bendera parti miliknya dicampakkan ke dalam longkang, manakala beberapa papan tanda (billboard) kempen turut dikoyakkan dalam kejadian di Kampung Sri Paya yang disedari, semalam.
Susulan itu, Arthur berkata, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Air Bemban bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa, lapor BERNAMA.
“Kejadian sama juga berlaku di Taman Putri, billboard dan bendera kena sabotaj. Bagaimanapun, setakat ini kita tidak tahu siapa pelaku,” katanya dalam satu sidang media di Bilik Gerakan Utama N.51 Bukit Batu, di sini hari ini.
Meskipun berdepan provokasi, Arthur menegaskan perkara itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus berkempen bagi mempertahankan kerusi berkenaan.
Beliau dalam masa sama, turut menyeru semua pihak supaya mengamalkan politik matang dan berkempen secara harmoni tanpa melibatkan sebarang unsur permusuhan atau khianat.
DUN Bukit Batu menyaksikan persaingan lima penjuru melibatkan Arthur (PH-PKR), R Kumaran (BN-MIC), M Premanand (MUDA), G Tamili (BERSAMA) serta calon Bebas, Kamaruzaman Ali
Pada PRN Johor kali ini sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















